Adakah 2020 milik Anwar? - Utusan Malaysia

Adakah 2020 milik Anwar?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
KEMENANGAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson baru-baru ini memang sudah dijangka tetapi tidak dapat diduga beliau menang dengan majoriti begitu besar menewaskan enam pencabarnya.

Kembalinya Anwar ke Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen Port Dickson, tentu ada yang suka dan ada yang tidak suka. Tun Dr. Mahathir Mohamad khabarnya melahirkan rasa gembira. Walaupun suatu ketika dahulu beliau pernah menyatakan beliau akan lari ke luar negara sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri.

Sebaik sahaja mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen, Anwar menyuarakan tidak berhasrat menyertai Kabinet Dr. Mahathir dalam tempoh terdekat.

Beliau hanya berjanji akan membantu pentadbiran Dr. Mahathir. Beliau mahu memantau segala perkara sebelum menjadi Perdana Menteri.

Mengikut perjanjian, Dr. Mahathir akan menyerahkan jawatan tertinggi itu kepada Anwar dalam tempoh dua tahun lagi iaitu pada 2020. Angka itu dahulu adalah ‘wawasan’ Dr. Mahathir.

Apakah angka ini mahu ‘diserahkan’ kepada Anwar? Perjalanan politik Anwar penuh berliku. Cabarannya tidak jauh berbeza semasa beliau bersama UMNO. Tapi jangan gopoh, perlu tenang dan sabar.

Tenang bukan bererti ‘tunggu-tunggu’. Sabar tidak bermaksud ‘lihat-lihat’. Kata pepatah pelanduk selalu lupakan jerat tapi jerat tidak pernah lupa pelanduk.

Jawatan Perdana Menteri ramai yang berminat tapi bukan mudah mendapatkannya. Dr. Mahathir terpaksa mengorbankan prinsip perjuangan politiknya untuk mendapatkan jawatan tersebut buat kali kedua.

Terpaksa ‘menceraikan’ sahabat lama dan ‘rujuk’ kembali dengan musuh ketat. Tapi itulah ‘keajaiban’ Dr. Mahathir. Tulisan ini bukanlah bertujuan hendak mempengaruhi sesiapa, cuma untuk peringatan, sekali air bah sekali pasir berubah.

Kedudukan Anwar dianggap selesa kerana PKR mempunyai bilangan kerusi Parlimen terbanyak. Jawatan Timbalan Perdana Menteri pula dipegang oleh isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Walau apa pun, Perdana Menteri ada kuasa penuh untuk memilih sesiapa yang beliau suka. Sejarahnya, Dr. Mahathir memang cenderung berbuat demikian.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah orang siapa tahu. Pepatah ini sedikit ‘memihak’ kepada Anwar tetapi beliau perlu faham, tuah yang datang kepadanya bersama ‘sejarah’ masa lalu.

Sejarah tidak musahil boleh berulang. Untuk mengulangi sejarah tentu ada yang jadi korban. Sebelum lebih ramai menjadi mangsa, Anwar perlu bersedia melakukan ‘keajaiban’.

CUCU TOK WOH

Chenor, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN