HARI ini sebahagian besar rakyat Malaysia akan menonton televisyen, mengikuti laman sosial dan pautan khas yang disediakan oleh kerajaan bagi mengikuti pembentangan Belanjawan 2019.
Belanjawan 2019 memiliki keistimewaannya tersendiri apabila ia menjadi belanjawan pertama yang dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas mengambil alih pemerintahan daripada Barisan Nasional pada 9 Mei lalu.
Rakyat menantikan apakah belanjawan yang dibentangkan itu nanti bersifat inklusif, menyeluruh, seimbang dan menepati janji-janji PH untuk membantu mengurangkan kos sara hidup.
Bagaimanapun, beberapa bulan sebelum pembentangan Belanjawan 2019 sudah pun kedengaran ‘bunyi-bunyi yang kurang enak’ kerana banyak peruntukan akan dikurangkan susulan hutang negara yang dikatakan mencecah RM1 trilion. Sudah pasti ini bukan berita gembira untuk rakyat, tetapi itulah hakikatnya.
Pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 1 September lalu bagi menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) menyebabkan kutipan cukai kerajaan menurun sekali ganda kepada RM21 bilion berbanding RM43 bilion. Penurunan itu dijangka memberi kesan kepada perbelanjaan kerajaan.
Kos sara hidup
Sejak kerajaan terdahulu memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2012, isi rumah yang mempunyai pendapatan di bawah RM3,000 akan menerima RM1,200 (BR1M 2018), RM3,001 hingga RM4,000 (RM900) dan RM2,000 ke bawah (RM450). Trend ini terus dinantikan oleh rakyat Malaysia saban tahun terutama golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).
Penganalisis ekonomi berpendapat Bantuan Sara Hidup (BSH) yang diumumkan bagi menggantikan BR1M dijangka kekal, tetapi dengan pengurangan jumlah penerima berbanding tujuh juta sebelum ini. Selain itu, peruntukan BSH juga diunjurkan berkurangan daripada RM6.8 bilion.
Pemberian BSH secara tidak langsung membantu golongan B40 untuk meningkatkan kuasa beli di samping merancakkan sektor perniagaan runcit.
Subsidi bersasar
Rakyat yang memiliki kenderaan terutama kereta dan sentiasa melakukan perjalanan jarak jauh pastinya menantikan pengumuman ini.
Harga jualan runcit bagi produk petroleum RON95 dan diesel dikekalkan, masing-masing pada harga RM2.20 dan RM2.18 seliter manakala RON97 diapungkan secara apungan terurus. Kerajaan memperuntukkan RM3 bilion sehingga hujung tahun ini untuk menanggung subsidi pengekalan harga runcit bagi petrol dan diesel.
Sehubungan itu, kerajaan merancang untuk memperkenalkan subsidi bersasar. Pelbagai pihak mencadangkan ia diperuntukkan berdasarkan kapasiti enjin kenderaan iaitu motosikal dengan 125cc ke bawah dan kereta 1,300cc ke bawah serta penggunaan kad atau baucar dengan had maksimum.
Apa pun mekanisme yang akan diperkenalkan, langkah itu diharap dapat memberi lebih penjimatan kepada rakyat yang mana lebihan wang boleh digunakan untuk meningkatkan kualiti kehidupan seperti pendidikan, kesihatan dan barang keperluan. Penguatkuasaan juga perlu dipergiat bagi mengelakkan ia disalah guna oleh individu yang tidak layak.
Pembelian rumah
Isu pembelian rumah dilihat tiada kesudahan ditambah pula harganya yang semakin mahal. Ramai yang menanti peluang untuk memiliki kediaman sendiri. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini mengumumkan harga rumah baharu akan turun 10 peratus ekoran pengecualian SST.
Walaupun harga rumah turun, syarat ketat yang dikenakan oleh pihak perkhidmatan kewangan menambah kesulitan rakyat untuk membeli rumah. Rata-rata pemaju mengatakan syarat yang terlalu ketat menyebabkan banyak rumah yang tidak terjual.
Oleh itu, kerajaan perlu memperkenalkan insentif dan pelbagai bentuk bantuan selain bekerjasama dengan institusi kewangan bagi mencari jalan penyelesaian tentang masalah tersebut. Beberapa inisiatif terdahulu yang dirasakan baik perlu diteruskan seperti kaedah sewa untuk dimiliki (RTO).
Belanjawan 2019 diharap dapat membantu kerajaan memacu agenda pemulihan tanpa membebankan kewangan negara di samping tidak terlalu ‘kedekut’ untuk kesejahteraan rakyat. Peruntukan untuk sektor-sektor penting seperti pendidikan, kesihatan dan pertahanan perlu diberi perhatian yang sewajarnya.









