PADANG BESAR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersetuju dengan saranan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya penanaman pokok ketum di negara ini diharamkan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, penyalahgunaan air ketum merupakan masalah yang serius terutama melibatkan negeri seperti Perlis dan Kedah.
“Berdasarkan peruntukkan undang-undang kini iaitu Seksyen 30 (3) Akta Racun 195, kesalahan itu hanya terhad kepada menjual air ketum.
“Namun, ladang-ladang pokok ketum dibiarkan secara berleluasa tanpa sebarang kawalan.
“Sekiranya pengharaman penanaman pokok ketum dapat dilaksanakan, saya percaya bekalan daun ketum ini akan berkurangan dan masalah penyalahgunaan air ketum ini dapat diatasi dengan lebih berkesan,” katanya pada sidang media di tapak projek Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Bukit Cabang di sini hari ini.
Kosmo! melaporkan baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya mendapati, penyalahgunaan ketum jelas membawa kesan bahaya kepada pengguna walaupun ia tidak dikategorikan sebagai dadah berbahaya.
Muhyiddin dipetik sebagai berkata, beliau mencadangkan kepada Jawatankuasa Kabinet supaya penanaman pokok ketum di negara ini diharamkan.
“Kementerian tidak akan membiarkan perkara (penyalahgunaan ketum) itu berleluasa memandangkan banyak tangkapan berkaitan penyeludupan ketum dilaporkan setakat ini,” katanya.
Masalah penyalahgunaan daun ketum cukup serius di Perlis kerana penyeludupan tumbuhan herba itu berlaku hampir setiap hari melalui jalan tikus dan pagar sempadan yang dirosakkan untuk pasaran Thailand.
Harga daun ketum di negara ini sekitar RM30 sekilogram berbanding di Thailand yang mampu mencecah RM100 bagi satu kilogram.
Secara kiraan matematik, penanaman pokok ketum lebih menguntungkan daripada mengusahakan padi sekiranya diusahakan secara komersial. – K! ONLINE











