AADK perlukan RM10 juta selanggara kemudahan - Utusan Malaysia

AADK perlukan RM10 juta selanggara kemudahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM 5 Nov. – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memerlukan peruntukan lebih RM10 juta untuk menyelenggara kesemua pusat rawatan dan pemulihannya di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, ini kerana terdapat pusat-pusat berkenaan berada dalam keadaan daif seterusnya menimbulkan isu keselamatan yang perlu ditangani.

Bagaimanapun, jelas beliau, di sebalik kekurangan yang wujud, program pemulihan yang dilaksanakan AADK berkesan apabila menerima pengiktirafan Bank Dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bayangkan jika tidak daif, kita pasti dapat laksanakan tugas dengan lebih baik. Antara yang diperlukan termasuk asrama baharu dan rumah kerana kita tidak cukup ruang sedangkan yang hendak masuk jalani rawatan ramai,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemulihan sukarela AADK, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, berdasarkan pemantauan di beberapa pusat AADK, terdapat bangunan tidak selamat, tidak cukup petugas, masalah lampu limpah, ketiadaan kamera litar tertutup (CCTV).

Sehubungan itu, katanya, beliau akan bertemu Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan supaya peruntukan segera disalurkan untuk membantu AADK.

“Pusat ini perlu dibantu kerana angka rasmi jumlah penagih di negara ini sekitar 100,000, namun kita percaya mencecah 300,000 dan 100 peratus mereka rakyat negara ini,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pihaknya akan berbincang dengan pemain industri di negeri ini bagi membolehkan bekas pelatih yang pulih diberikan peluang bekerja di kilang-kilang di negeri ini.

“Di negeri ini, terdapat lebih 300 bekas pelatih AADK yang diterima bekerja, jadi saya berharap pada masa hadapan, industri lain seperti pertanian serta pelancongan membuka peluang kepada mereka kerana sepanjang berada di sini, mereka diberikan pelbagai latihan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN