MELAKA 1 Nov. – Masyarakat masih mempunyai tahap kesedaran yang rendah berhubung penyakit gusi apabila sembilan daripada 10 dewasa dalam negara mempunyai tanda-tanda penyakit itu.
Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) Kementerian Kesihatan, Dr. Nomah Taharim berkata, penyakit gusi juga mempunyai tanda awal sehingga tanda kompleks yang memerlukan pesakit untuk berjumpa dengan doktor gigi.
“Antara tanda awal adalah apabila kita menggosok gigi di pagi hari, didapati gusi berdarah. Itu adalah tanda awal menyatakan gusi kita sudah bengkak dan kita perlu ke klinik gigi supaya mendapatkan nasihat daripada doktor ataupun pakar.
“Bagaimanapun, sekiranya kita mempunyai tanda kompleks, maka pesakit itu haruslah berjumpa dengan pakar gusi yang dipanggil sebagai pakar periodontik,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Hari Kesihatan Pergigian Warga Kolej Komuniti ‘Transformation With 1 Smile Together’ (TW1ST) Peringkat Negeri Melaka 2018 di Ayer Keroh, di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian) Melaka, Dr. Muhamad Mahadi.
Sementara itu, Dr. Nomah menjelaskan, terdapat banyak faktor yang menjurus kepada berlakunya penyakit gusi mahupun gigi apabila perkara itu berkait rapat dengan aktiviti seharian individu.
“Sebenarnya, ada banyak faktor yang menyebabkan gigi rosak ataupun sakit gusi. Satu daripadanya adalah diet kita, kemudian cara kita menggosok gigi juga boleh menjadi punca.
“Sebab itu kita kata, penyakit gigi ada kaitan juga dengan penyakit lain seperti diabetes dan hipertensi. Itu adalah satu perkara yang biasa kerana semua penyakit mempunyai risiko,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr. Nomah turut memberitahu, penyakit gusi boleh dirawat dan dipulihkan sekiranya pesakit mendapatkan rawatan awal apabila sudah mengetahui mereka mempunyai tanda-tanda awal penyakit itu. – UTUSAN ONLINE











