KUALA LUMPUR 14 Nov. – Seramai 78,612 kekuatan anggota penyelamat daripada agensi `first responder’ seperti polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam akan digerakkan ke lokasi-lokasi banjir.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, langkah itu antara persediaan yang dilakukan di seluruh negara bagi menghadapi monsun timur laut (MTL) yang bermula 27 November ini sehingga Mac tahun depan.
Jelas Wan Azizah, sebanyak 1,080 daripada 5,448 pusat pemindahan sedia ada di kawasan berisiko bencana banjir telah mula diaktifkan.
“Lima depot simpanan, 165 stor bencana dan 581 pangkalan hadapan telah diperlengkapkan dengan makanan dan keperluan mangsa.
“Selain itu, sebanyak 1,454 kenderaan pacuan empat roda, 15 aset udara, 859 lori, 1,138 bot (termasuk Amfibia Sealeg) dan 425 ambulans Polis, Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam sedia untuk digerakkan,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (Pas-Rantau Panjang) yang meminta kerajaan menyatakan tahap kesiapsiagaan dan persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh khususnya di Kelantan.
Jelas Wan Azizah, kementerian kesihatan telah mengarahkan semua hospital dan klinik membuat persiapan logistik dan stok ubatan serta mengenal pasti pesakit yang memerlukan rawatan khusus. – UTUSAN ONLINE










