7,758 kanak-kanak OKU di Terengganu - Utusan Malaysia

7,758 kanak-kanak OKU di Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 5 Nov. – Seramai 7,758 kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) di negeri ini telah didaftarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga Oktober lalu dengan sebahagian besarnya merupakan kalangan yang bermasalah dalam pembelajaran.

Isteri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Zarani Othman berkata, langkah itu membolehkan ibu bapa diberi bimbingan menguruskan anak-anak istimewa dengan lebih baik manakala anak-anak itu juga mendapat peluang untuk menjalani program pemulihan dan pendidikan lebih sempurna.  

“Pengesanan awal terhadap kelainan upaya anak-anak dan pendaftaran amat penting dalam membantu, merawat dan memulihkan masalah mereka. Bagi yang tidak dapat dirawat, ibu bapa disaran mendapatkan khidmat nasihat pakar perubatan mengenai cara untuk menjaga mereka dengan sempurna,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Program Ilmu Keluarga@LPPKN ‘Anak Istimewa Satu Anugerah’ sempena Program Tepat : Jelajah Keibubapaan Terengganu 2018 di Dewan Teater, Wisma Darul Iman di sini semalam.

Yang hadir sama, Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPPKN) Terengganu, Muhamad Noh Abdullah.

Program ini memberi fokus kepada  autisme, dyslexia dan sindrom down untuk memberi pengetahuan  kepada ibu bapa tentang fitrnah anak isitmewa ini dan tips untuk menguruskan mereka di rumah.

Menurut Zarani, pelbagai kemudahan telah disediakan oleh pihak kerajaan dan layak diberikan kepada OKU berdaftar dengan JKM antaranya kad, bantuan alat sokongan, kewangan di samping kaunseling dan psikologi.

Di samping itu, katanya, kewujudan 47 pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) di seluruh negeri juga berperanan sebagai tempat intervensi awal OKU, pusat rujukan dan advokasi program berkaitan bagi membantu seramai 1,146 klien di pusat dan 405 klien di rumah.

Sementara itu, Muhamad Noh memberitahu, penganjuran program keibubapaan mampu membantu memperkasakan dan merealisasikan hasrat agensi berkenaan untuk membentuk keluarga bahagia berpandukan kepada kasih sayang, dan sejak 2017 hingga kini sebanyak 24 program sedemikian telah digerakkan dengan penglibatan 1,785 peserta.

Katanya, LPPKN turut menggunakan platform itu bagi meningkatkan skor indeks kesejahteraan keluarga (IKK) negeri kepada 8.00 menjelang 2020. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN