75.7 peratus daripada 333 kes jenayah seksual dilakukan orang dikenali - Utusan Malaysia

75.7 peratus daripada 333 kes jenayah seksual dilakukan orang dikenali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Polis Selangor mendedahkan kebanyakkan kes jenayah seksual kanak-kanak yang dilaporkan di negeri ini bagi Januari hingga Oktober lalu dilakukan oleh orang yang dikenali mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, daripada 333 kes yang dilaporkan, sebanyak 75.7 peratus dilakukan oleh orang yang dikenali mangsa manakala hanya 24.4 peratus mangsa tidak mengenali pelakunya. 

Katanya, orang yang dikenali mangsa antaranya, bapa kandung atau tiri, datuk, abang kandung, suami atau anak pengasuh, jiran, teman lelaki ibu dan rakan-rakan mangsa.

“Data 75.7 peratus yang diperolehi menunjukkan satu keadaan yang membimbangkan dan ini yang menimbulkan kerisauan, mereka yang sepatutnya menjaga kanak-kanak ini sebaliknya menjadi suspek,” katanya pada Program Media Talk Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Fadzil berkata, statistik menunjukkan terdapat penambahan sebanyak 46 kes kesalahan jenayah seksual kanak-kanak dari Januari hingga Oktober lalu berbanding tahun 2017. 

Katanya, bagi tahun 2017, sebanyak 287 kes yang melibatkan kanak-kanak bawah umur 18 tahun telah diterima dan sebanyak 242 kes telah berjaya dituduh di mahkamah, 65 kes lagi telah mendapat keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) dan lapan kes memerlukan siasatan lanjut. 

Menurutnya, daripada 287 kes yang dilaporkan itu, 131 adalah kes rogol, sumbang mahram (16 kes), Liwat (71 kes) dan kesalahan dibawah Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak (AKSK) adalah 69 kes. 

“Bagi Januari hingga Oktober lalu, sebanyak 333 kes telah dilaporkan dan sebanyak 201 kes telah dituduh di mahkamah, 82 kes adalah NFA dan 51 kes dalam siasatan. Daripada 333 kes yang dilaporkan itu, 114 adalah kes rogol, sumbang mahram (9 kes), Liwat (72 kes) dan 138 kes dibawah AKSK.

“Di Selangor, sekurang-kurangnya tiga kes jenayah seksual kanak-kanak dilaporkan setiap minggu dan perkara ini perlu disebar luas kepada pengetahuan orang awam supaya langkah-langkah pencegahan boleh dilakukan,”katanya.  

Mengulas lanjut, Fadzil berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati punca berlakunya kesalahan seksual adalah disebabkan pengaruh media sosial, perkembangan teknologi, sikap ingin mencuba, pengaruh rakan sebaya dan kurangnya pemantauan daripada ibu bapa. 

“Kita jangkakan bilangan kes-kes jenayah seksual ini akan meningkat untuk tahun ini berikutan pelajar akan mula cuti sekolah dan ibu bapa perlu memainkan peranan memantau aktiviti anak-anak dan telefon bimbit serta gajet mereka,” ujarnya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN