KOTA BHARU 10 Nov. – Seramai 602 individu akan menerima Darjah Kebesaran, Bintang, Pingat dan Surat Kepujian sempena Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad V ke-49 yang akan berlangsung di Istana Balai Besar di sini, esok.
Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 37 individu akan menerima darjah kebesaran bergelar Datuk, manakala lima lagi dilantik sebagai Jaksa Pendamai.
“Menjunjung titah perintah dan limpah kurnia Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, adalah saya dengan ini memaklumkan bahawa baginda telah mengampuni perkenan mengurniakan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang-Bintang, Pingat-Pingat dan Surat Kepujian kepada seramai 597 orang penerima sebagaimana yang telah ditentukan serta melantik seramai lima orang menjadi Jaksa Pendamai sempena Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad V Ke-49,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Sultan Kelantan di Istana Besar di sini hari ini.










