50 Pengerusi MPKK anggotai JKKR - Utusan Malaysia

50 Pengerusi MPKK anggotai JKKR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 13 Nov. – Seramai 50 pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini dilantik serta-merta menganggotai Jawatankuasa Kemajuan dan Kebajikan Rancangan (JKKR) di seluruh 21 Tanah Rancangan Felda.

Pelantikan itu sekali gus menyaksikan Terengganu sebagai negeri pertama yang mempelopori usaha memasukkan anggota agensi pentadbiran kerajaan di peringkat kampung itu dalam komponen Felda yang selama ini hanya dianggotai oleh ketua-ketua blok.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, langkah itu tepat dalam membentuk suasana harmoni yang akhirnya memberi manfaat kepada seluruh masyarakat Felda.

Katanya, pengerusi MPKK yang terlibat masih menjalankan tugasan hakiki mereka di samping menjadi ahli JKKR.

“Pihak pengurusan tertinggi Felda bersetuju JKKR yang sebelum ini terdiri dalam kalangan ketua blok menerusi pemilihan secara demokrasi turut dianggotai oleh MPKK.

“InsyaAllah dengan kerjasama ini diharap dapat memberi manfaat kepada 7,459 peneroka Felda daripada 21 tanah rancangan di seluruh negeri, ” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pegawai Khas kepada Menteri Besar (Hal Ehwal Tanah Persekutuan negeri), Naraza Muda dan Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Mohd. Helmi Fakhzan Abd. Wahab. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN