45 orang ditahan ketika asyik berpesta liar di kondo mewah - Utusan Malaysia

45 orang ditahan ketika asyik berpesta liar di kondo mewah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG – Seramai 45 individu ditahan ketika sedang asyik berpesta liar dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Seri Kembangan di sini kelmarin.

Dalam serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada pukul  3.45 pagi itu, terdapat 37 lelaki dan lapan wanita yang sedang khayal dan juga melakukan seks bebas. 

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta manakala sembilan daripadanya pula pelajar sekolah menengah.

“Daripada kesemuanya, 33 individu disahkan positif dadah jenis ganja dan methamphetamine. Mereka juga dilaporkan telah berpesta selama hampir dua hari di kondominium tersebut.

“Mereka mendapat jemputan untuk menyertai pesta liar tersebut menerusi media sosial dan perlu membayar yuran penyertaan sekurang-kurangnya RM60 seorang,” katanya pada sidang akhbar di IPD Serdang di sini hari ini.

Ismadi menambah, pihaknya turut merampas dadah jenis ketamin dan ekstasi yang bernilai kira-kira RM500.

pesta
Ismadi (kanan) menunjukkan salah satu barang rampasan iaitu pil ekstasi yang dijumpai semasa serbuan parti liar di sebuah kondominium di Seri Kembangan kelmarin.

“Bekalan dadah itu dipercayai diperolehi daripada seorang pengedar yang beroperasi di sekitar Lembah Klang.

“Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN