KOTA BHARU 2 Nov. – Lebih 40,000 petani di kawasan Pengairan Kemubu (Kada) terkilan peruntukan khusus bagi sektor tanaman padi tidak disebut secara khusus oleh kerajaan Pakatan Harapan dalam pembentangan Belanjawan 2019.
Pengerusi Badan Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kada, Tengku Hussin Tengku Abdul Rahman berkata, mereka yang menganggotai 13 PPK merasa kecewa seolah-olah peranan mereka tidak dihargai.
“Kami ingin tahu berapa jumlah peruntukan yang disediakan oleh kerajaan Pakatan Harapan bagi membantu kami berikutan kenaikan kos modal untuk mengerjakan sawah semakin meningkat,’’ katanya ketika dihubungi Bernama bagi mengulas pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz berkata pihaknya menyambut baik persetujuan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) untuk mengurangkan 10 peratus harga rumah yang akan memberi manfaat kepada kontraktor Bumiputera.
“Kami berterima kasih dengan persetujuan itu yang dilihat dapat membantu kontraktor Bumiputera terus bergerak terutamanya dalam sektor penyediaan perumahan kepada masyarakat,’’ kata Rosdi yang juga Yang Dipertua PKMM Kelantan.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Ismail Muhammad, 45, berkata, pengurangan itu akan dapat membantu golongan berpendapatan rendah sepertinya untuk memiliki rumah sendiri. – BERNAMA









