MUAR 13 Nov. – Polis daerah ini berjaya mencekup empat lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri sarang burung walit di beberapa daerah di negeri ini, awal pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis daerah, Superintenden Idris Rajab berkata, keempat-empat suspek yang berusia antara 29 hingga 33 tahun itu diberkas ketika memecah masuk sebuah premis sarang burung itu di Taman Pagoh Indah, di sini.
“Kira-kira pukul 6 pagi semalam, sepasukan polis dari Balai Polis Pagoh dan Cawangan MPV Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bergegas ke tempat kejadian sejurus mendapat maklumat.
“Dalam kejadian itu, pekerja di tempat pemeliharaan burung walit terbabit yang ternampak suspek sedang memecah masuk ke dalam premis tersebut melaporkan kepada polis,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Tambah Idris, pihaknya turut merampas satu kilogram sarang burung walit dan peralatan-peralatan seperti kuku kambing, pemotong besi serta pemutar skru yang dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. -UTUSAN ONLINE











