CYBERJAYA 14 Nov. – Sebanyak 4.03 juta saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dicatatkan sejak 2012 sehingga 31 Ogos lalu telah dibatalkan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, semua saman AES yang dikeluarkan sebelum 1 September 2018 itu telah diputihkan daripada sistem dan perkara berkenaan disahkan Pusat Data Bahagian Teknologi Digital Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Saya telah mendapat kepastian daripada pihak pengurusan pusat data ini, semua saman itu telah diputihkan dari sistem, maksudnya, apa-apa saman AES sebelum 1 September sudah tiada lagi dalam data,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Data Bahagian Teknologi Digital JPJ di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anthony memberitahu, bagi tempoh dari 1 September sehingga 8 November lalu, sebanyak 60,444 saman AES kesalahan melanggar had laju telah dikeluarkan tetapi hanya 1,711 saman berkenaan yang dijelaskan.
Bagi tempoh yang sama untuk kesalahan lampu isyarat pula, kata Anthony, sebanyak 4,575 saman AES telah dikeluarkan namun hanya 167 saman telah dibayar.
Ujar beliau lagi, setakat ini sebanyak 1,190 kes saman AES telah dibawa ke mahkamah di Kedah, Perak dan Pulau Pinang sejak 1 September lalu namun tiga individu sahaja hadir.
“Waran tangkap akan dikeluarkan terhadap individu yang gagal hadir ke mahkamah bagi kes saman AES dan akan disenarai hitam sehingga bayaran dijelaskan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










