31 mayat rentung ditemui - Utusan Malaysia

31 mayat rentung ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARADISE, California – Angka kematian akibat kebakaran hutan yang marak di negeri California meningkat kepada 31 orang kelmarin selepas enam lagi mayat mangsa ditemui.

Beberapa pegawai berkata, mayat lima orang ditemui di beberapa kediaman yang hangus, manakala mangsa keenam dijumpai di dalam sebuah kenderaan di utara California di mana kebakaran besar dikenali sebagai Camp Fire terus marak, kata Syerif Daerah Butte, Kory Honea kepada pemberita petang kelmarin.

“Kira-kira 228 orang masih hilang, sementara 137 lagi telah dijumpai selepas rakan dan waris mengadu bahawa mereka gagal dihubungi,” katanya.

Kebakaran Camp Fire di California Utara meragut sekurang-kurangnya 29 nyawa sejak ia bermula Khamis lalu. Beberapa ratus kilometer ke selatan negeri itu pula, sekurang-kurangnya dua orang terkorban dalam kebakaran besar lain digelar Woolsey Fire yang mengancam komuniti mewah di Malibu, dekat Los Angeles.

Sementara itu, angin panas dan kering yang diramal bertiup sehingga hari mengakibatkan api sukar dikawal, kata beberapa pegawai.

“Kita memasuki situasi normal yang baharu,” kata Ketua Bomba Daerah Ventura, Mark Lorenzen yang memberitahu satu sidang akhbar bahawa kebakaran hutan di California pada 2018 merebak lebih cepat berbanding 10 tahun lalu.

Katanya, pasukan bomba kini berusaha untuk mengawal 25 peratus kebakaran Camp Fire di California Utara yang telah memusnahkan 45,000 hektar tanah, manakala di California Selatan, kebakaran Woolsey Fire mengakibatkan kawasan seluas 33,700 hektar musnah. Hanya 10 peratus kebakaran itu dapat di­padamkan setakat kelmarin.

Kebakaran Camp Fire turut memusnahkan lebih 6,700 kediaman dan premis perniagaan di bandar Paradise sekali gus kemusnahan lebih banyak struktur berbanding mana-mana kebakaran hutan di California. 
– Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN