KUANTAN 6 Nov. – Kira-kira 3,000 kontraktor Kelas G1 dan G2 di negeri ini paling menerima kesan dengan penangguhan serta pemberhentian projek penyelenggaraan oleh kerajaan Pakatan Harapan ketika ini.
Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) negeri, Abdul Gapar Lambak berkata, situasi itu berlaku kerana jumlah kontraktor G1 dan G2 terlalu ramai dan tidak seimbang dengan bilangan projek yang ditawarkan.
“Selain itu, polisi yang tidak mesra pihak daripada sektor pembinaan swasta turut menyumbang kepada permasalahan ini.
“Jika perkara ini berterusan, ia pastinya boleh membunuh survival kontraktor Melayu khususnya Kelas G1 dan G2,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Baru-baru ini, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf), Tukiman Radion berkata, rata-rata 6,000 lebih ahli persatuan itu juga mengadu ‘mati akal’ untuk memberi alasan apabila menerima panggilan bank berhubung pembayaran ansuran kereta dan rumah yang tertunggak.
Mengulas lanjut, Abdul Gapar berkata, PKMM negeri berharap kerajaan mewujudkan program rangsangan khas kepada golongan kontraktor yang dirangka dalam Belanjawan 2019.
“Program rangsangan khas itu bagi merancakkan semula sektor pembinaan khusus untuk survival kontraktor Melayu,” katanya.










