KUALA LUMPUR 10 Nov. – Kira-kira 30 peratus daripada jumlah keseluruhan tunggakan saman trafik seluruh negara berjaya diselesaikan selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun sehingga 50 peratus sempena perayaan Deepavali di Balai Polis Trafik di Jalan Tun H.S. Lee di sini bermula Rabu hingga semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifly Yahya berkata, sebanyak 32,462 saman berjumlah kira-kira RM3 juta berjaya dikutip sepanjang tempoh tersebut.
“Sambutan diterima sepanjang tiga hari ini amat menggalakkan dengan jumlah kehadiran kira-kira 6,000 orang pesalah trafik yang mahu menyelesaikan saman tertunggak mereka dan keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia sebelum ini mendapati, pemberian diskaun saman itu mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan peningkatan jumlah pesalah trafik yang ingin menyelesaikan saman tertunggak mereka.
Jumlah kehadiran yang dianggarkan pada hari pertama melibatkan 1,000 orang meningkat kepada 2,000 pada hari kedua manakala hari ketiga mencatatkan jumlah tertinggi dengan kehadiran sebanyak 3,500 orang. – UTUSAN ONLINE










