JOHOR BAHRU 11 Okt. – Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi melepaskan dan membebaskan dua sahabat daripada tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine dan memiliki dadah jenis nimetazepam, dua tahun lalu.
Hakim Mat Ghani Abdullah membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ang Bu Chuan, 38, dan Mar Soon Kit, 28, pada akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua mereka didapati mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 126.06 gram di Jalan Idaman Utama, Larkin di sini pukul 12.25 malam pada 13 September 2016.
Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua mereka didakwa memiliki dadah jenis nimetazepam seberat 0.7 gram di lokasi, masa dan tempat sama.
Sejurus selesai keputusan itu dua sahabat yang berasal dari bandar raya ini dan masih belum berkahwin itu dilihat tersenyum tanda bersyukur selain bersalaman dengan orang kena tuduh (OKT) kes berasingan yang turut berada dalam kandang tertuduh. – UTUSAN ONLINE










