MARANG 4 Nov. – Dua maut manakala dua lagi cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas lalu melanggar sebuah bas kilang yang diletakkan di tepi jalan di Kilometer 51, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Jambu Bongkok, di sini malam tadi.
Mangsa, Norillyana Mat Hassan, 19, yang berada di tempat duduk hadapan meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak saudaranya di bahagian belakang, Muhammad Ismail Ramzul Haisam, 19, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 11.15 malam ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Difahamkan Norillyana baharu melangsungkan majlis pertunangannya Ahad lalu.
Kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu turut menyebabkan pemandu kereta, Muhamad Abdul Kudus Ramdzul Haisam, 21, (abang Muhammad Ismail) dan seorang lagi penumpang, Norsyahida Mat Hassan (kakak Norillyana) cedera parah dan dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.
Siasatan mendapati kereta Perodua Myvi yang dinaiki remaja terbabit dari arah Dungun terbabas di tempat kejadian sebelum merempuh bas kilang di pinggir jalan.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berkaitan nahas di Kampung Jambu Bongkok itu. – UTUSAN ONLINE










