1MDB: Tidak adil hukum, salahkan UMNO sepanjang masa - Utusan Malaysia

1MDB: Tidak adil hukum, salahkan UMNO sepanjang masa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menganggap tindakan pihak tertentu untuk terus menyalahkan UMNO berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai tidak adil.

Katanya UMNO sebagai sebuah parti politik, tidak bersalah dan sama sekali tidak terlibat dengan sebarang operasi dan transaksi 1MDB.

Beliau bagaimanapun memahami, isu 1MDB akan berlarutan panjang dan akan ada usaha berulang-ulang mengheret UMNO ke dalam kancah skandal syarikat milik kerajaan itu secara konsisten, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Kepada orang Melayu, UMNO tidak meminta banyak, hanya (mohon) bertindak secara rasional dan adil terhadap UMNO. Berilah ruang untuk gerakan amal bakti ini meneruskan perjalanan dan sumbangannya kepada bangsa, agama dan tanah air,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan beliau itu dilihat sebagai susulan daripada tindakan pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) mengemukakan pertuduhan jenayah terhadap ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho dan dua bekas ahli perbankan Goldman Sachs berhubung skandal 1MDB, semalam.

Pada masa sama kata Mohamad, beliau secara peribadi amat bersimpati dengan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang perlu berhadapan dengan semua isu berkenaan.

“Seperti mana-mana kes yang sedemikian, ia mesti diserahkan kepada pihak berkuasa untuk mengurus dan mengadilinya secara sah, teratur dan berperlembagaan. Saya mendoakan yang terbaik untuk beliau. Semoga kebenaran dan keadilan diangkat,” katanya.

Namun beliau tetap menaruh harapan agar semua pihak menghargai UMNO yang mempunyai agenda lebih besar dan mustahak untuk bangsa, agama dan tanahair.

Katanya, selagi UMNO dikaitkan secara tidak berpatutan dengan skandal 1MDB, selagi itulah usaha merawat, memulih dan membangunkan UMNO akan terencat dan disalah erti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN