MARAN 24 Nov. –Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta pihak berkuasa melakukan siasatan menyeluruh dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk kemungkinan wujudnya pakatan oleh pihak-pihak di luar negara.
“Jangan tertumpu siasatan dalam negara sahaja. Dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), saya tidak melakukan sebarang kesalahan, maknanya kalau ada apa-apa berlaku, pencurian duit ke, ada kemungkinan itu berlaku dengan pihak lain di luar negara.
“Tetapi tunggulah, saya tidak dapat hendak memberi ulasan banyak sangat sebab perkara ini sensitif dan ada hubungan dengan negara lain,’’ katanya dalam majlis ramah mesra di Dewan UMNO Tajau di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Nor Adam dan Pengerusi Jaringan Sukarelawan Malaysia, Hizatul Isham Abdul Jalil.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan dakwaan yang Najib mengarahkan laporan asal 1MDB yang disediakan Ketua Audit Negara ketika itu, Tan Sri Ambrin Buang dipinda.
Menurut sumber, pindaan itu difahamkan dibuat bagi mengeluarkan maklumat pembabitan bekas Perdana Menteri itu dan ahli perniagaan, Jho Taek Low (Jho Low) dalam aktiviti 1MDB.
Dalam pada itu, Najib berkata, pengakuannya bahawa beliau ditipu oleh Jho Low telah disalah tafsir sebuah portal berita.
“Saya kata kalaulah terbukti nanti maknanya kita telah ditipu.
“Saya tidak pernah menafikan bahawa saya tidak mengenali beliau, saya kata kenal secara profesional dan kita gunakan beliau dalam urusan hubungan kita dengan Arab Saudi khususnya untuk pelaburan,” katanya.











