ALOR SETAR – Seramai 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang bertindak keluar dari Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail diberi peluang membahaskan Rang Undang-Undang Perbelanjaan Negeri 2019 di sini hari ini.
Ketua pembangkang, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tindakan itu dilakukan atas semangat setia kawan bagi menentang budaya lompat parti seperti yang dilakukan Ku Abdul Rahman.
“Walaupun berbeza parti, kami di blok pembangkang bersatu hati menentang budaya lompat parti selain tindakan PH yang sentiasa cuba memujuk wakil rakyat pembangkang sama ada di peringkat DUN atau Parlimen untuk mengukuhkan komponen mereka.
“Tindakan ADUN Guar Chempedak itu mengkhianati pengundi dan kita mesti tunjukkan penentangan terhadapnya.
“Ini cara kami (keluar DUN) untuk menggambarkan penentangan itu,” katanya kepada pemberita di sini petang tadi.
Seramai 17 ADUN berkenaan membabitkan dua ADUN daripada Barisan Nasional (BN) dan 15 ADUN lagi Pas.
Muhammad Sanusi berkata, tindakan itu juga secara tidak langsung menunjukkan kesatuan dalam kalangan blok pembangkang di negeri ini.
Sementara itu, ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob berkata, beliau mengalu-alukan kesatuan yang ditunjukkan ADUN Pas daripada blok pembangkang yang bertindak keluar DUN.
“Apa yang dilakukan Ku Abdul Rahman jelas tidak menghormati parti dan blok pembangkang kerana melompat ketika sidang DUN sedang berjalan.
“Tindakan Ku Abdul Rahman itu dianggap sebagai pengecut kerana keluar parti ketika berada dalam kesusahan,” katanya.
Sementara itu, Ku Abdul Rahman ketika perbahasannya mendakwa apa yang dilakukanya merupakan satu penghijrahan yang amat sukar dilakukan.
“Islam pun menggalakkan umatnya berhijrah. Saya memohon maaf kepada Suraya dan Norsabrina Mohd. Noor (BN-Bandar Baharu) kalau mereka merasa kecil hati,” katanya.
Kosmo! hari ini melaporkan Ku Abdul Rahman membuat keputusan untuk keluar UMNO dan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong kerajaan negeri diterajui Pakatan Harapan. – K! ONLINE










