16 peluru 'teman' akhir hayatnya - Utusan Malaysia

16 peluru ‘teman’ akhir hayatnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AJARAN Islam melekat di dalam diriku. Pembawaan aku yang cepat akrab memudahkan untuk melaksanakan tugas sebagai pendakwah dengan penuh dedikasi.

Aku tahu, rakan dakwahku, Elijah Muhammad memerlukan bantuan seseorang untuk menyebarkan ajaran Islam, juga untuk mendirikan pusat ibadah di pelbagai tempat bagi 22 juta kaum Negro di Amerika Utara.

Setelah Elijah yakin dengan kemampuanku berdakwah, aku disuruh pergi ke Boston menemui Llyod X. Dia mengundang orang yang tertarik dengan Islam untuk mendengar ceramahku di rumahnya.

Setiap kali pertemuan, jumlah yang hadir sentiasa bertambah kerana ada dalam kalangan mereka membawa rakan baharu. Tiga bulan kemudian, kami mendirikan sebuah masjid sederhana kecil sebagai pusat baharu.

Kakakku, Ella, turut mendengar ceramahku untuk kali pertama. Dia begitu menaruh perhatian seolah-olah tidak percaya bahawa adiknya sedang berbicara di hadapan khalayak yang hadir.

Matanya bagaikan terpaku terus menerus menatap ke arahku. Apabila aku bertanya, silakan berdiri bagi sesiapa yang percaya dan yakin, dia turut bangun seperti khalayak lain.

Sebelum ini, aku memang tidak pernah menyedarkan Ella kerana dia seorang yang keras kepala. Aku tahu, tiada seorang pun mampu mempengaruhi Ella, kecuali Allah SWT.

Daripada pengalaman sebagai pendakwah, peraturan dan disiplin ketat menyebabkan beberapa golongan keberatan mengikuti ajaran Islam. Dalam hal ini, aku tetap bertegas demi menegakkan moral Islam.

Menjelang 1956, jemaah Muslim berkembang dengan pesat. Kami menggabungkannya dengan pelbagai kegiatan lain seperti pendidikan, keterampilan dan perdagangan serta kami juga melakukan pekerjaan yang sering dilakukan oleh golongan kulit putih.

Kami mampu menjadikan mereka sebagai pelayan yang memiliki akhlak baik dan ada juga antaranya menjadi jururawat, kerani, jurujual dan sebagainya.

BERKORBAN DEMI DAKWAH

Apa yang membanggakan, mereka adalah pelapis pendakwah yang berdedikasi. Aku bermunajat kepada Allah untuk meningkatkan iman dan ketakwaan agar dapat mengembangkan ajaran Islam.

Elijah membenarkan aku membeli sebuah kereta bagi memudahkan pergerakan mencari anggota jemaah Muslim baharu dan melawat masjid. Dalam lima bulan, aku berjaya menempuh jarak sejauh 30,000 kilometer sebelum mengalami kemalangan.

Mengenai pergaulanku dengan wanita bukan muhrim, aku selalu bersikap berhati-hati. Pengabdianku terhadap Islam benar-benar murni, tanpa didasar oleh keinginan yang bermacam-macam terhadap wanita.

Namun, aku mempunyai alasan tersendiri, mengapa aku tidak ingin mencintai wanita. Pengalaman mengajar bahawa wanita itu ‘makhluk yang penuh tipu daya’. Bagaimanapun, jauh di sudut hatiku, aku tetap menghargai wanita sebagaimana aku menghargai ibuku yang telah melahirkan aku.

Dalam gabungan Muslimat yang hadir dalam kerja-kerja dakwah, terdapat seorang wanita yang aku perhatikan tanpa maksud lain sehingga setahun lamanya.

Selepas itu, baru aku ketahui namanya, Betty X, penduduk asal Detroit yang menamatkan pendidikannya di Tuskegee Institute, sebelum meneruskan pengajian dalam bidang kejururawatan di New York.

Tenaganya kemudian disumbangkan untuk mengajar kesihatan dan ilmu ubat-ubatan di kelas khas, khusus untuk wanita Muslim. Biasanya aku bertanya bagaimana dengan kelasnya, dan dia akan menjawab, “Tidak ada masalah.” Aku membalas pula, “Terima kasih.”

Hanya itulah hubungan kami. Seorang anggota Muslimat akhirnya memberitahuku siapakah sebenarnya Betty X. Aku sangat terkejut dengan dugaan yang terpaksa ditempuhinya. Sebelum menjadi Muslim, pendidikannya dibiayai keluarga angkatnya.

Setelah memeluk Islam, keluarga tersebut menyuruhnya membuat pilihan, meninggalkan Islam atau tidak lagi membiayai pengajiannya. Betty memilih Islam sebagai agamanya dan dia terpaksa bekerja sebagai pengasuh bayi kepada beberapa doktor di hospital tempatnya menjalani latihan kerja.

Aku mula merasakan hanya Betty yang sesuai dengan diriku jika aku berkahwin. Aku menelefon Betty di asramanya. Dia yang menyambut panggilanku, terus mengatakan, “O… Hello, Mr!” Lalu tanpa membuang waktu, aku segera melontarkan pertanyaan, “Apakah kamu tidak ingin menikah?”

Aku yakin dia pasti terkejut tetapi aku anggap bahawa itu salah satu cara wanita menerima pinangan seorang lelaki. Jawapan sudah pasti ku duga, “Ya!” Aku pun segera berkata kepadanya, “Saya tidak mempunyai banyak masa.”

Kami segera ke pejabat urusan perkahwinan dan perkahwinan kami berlangsung secara rasmi.

Pada November 1958, lahirlah anak perempuan kami yang pertama, yang dinamakan Attilah The Hun (Hun adalah nama Rome). Anak kedua kami, Qubilah lahir pada hari Krismas 1960. Anak ketiga, Ilyasah (Julai 1962). Amillah (disebut juga Gumillah) lahir pada 1964.

Hasil karya

Aku berjumpa penyunting James Hicks dari Amsterdam News yang berpangkalan di Harlem. Hicks bersetuju membantu untuk menyiarkan tulisanku dalam ruangan khusus yang kemudiannya diganti dengan tulisan Elijah.

Selepas itu, aku mendapat peluang menulis dalam kolum akhbar milik Negro, The Los Angeles Herald Dispatch. Kemudian kami menerbitkan akhbar Muhammad Speaks dan menjualnya di sekitar kaki lima.

Pada akhir 1959, televisyen menyiarkan rancangan ‘The Hate’ (Kebencian). Kenapa rancangan itu dinamakan sedemikian? Ia adalah gambaran imaginasi yang mengerikan.

Perbincangan kami menimbulkan banyak reaksi. Ratusan penduduk New York termasuk kulit hitam dan kulit putih marah kononnya khutbah mengandungi kebencian terhadap golongan kulit putih telah dilancarkan.

Sedang Elijah, aku, dan pembicara lain cuba menyedarkan, membangkitkan kefahaman dengan rasa jujur. Dalam kalangan kaum Negro sendiri, ada yang menganggap Negro yang tidak mahu bergabung dengan kulit putih sebagai ‘Negro gila’.

Mereka mengatakan Negro yang menjadi Muslim adalah Negro gila tersebut. Kami ditohmah sebagai kaum yang memutar belit sejarah nenek moyang, orang yang menjadi bahan ketawa dengan doktrin Islam kuno, kaum Heretic yang membenci Kristian, dan sebagainya.

Namun, aku yakin bahawa Allah adalah Maha Pencipta atas segala-galanya. Dia yang lebih mengetahui setiap apa yang ada di dalam alam ini, juga segala yang berada di dalam tubuh dan pemikiran makhluk-Nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN