16 kaki judi ditahan polis - Utusan Malaysia

16 kaki judi ditahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL 12 Nov. – Seramai 16 kaki judi ditahan polis semasa leka berjudi di Pusat Rekreasi Warga Emas, Bahau di sini pagi tadi.

Ketua Polis daerah, Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, sepasukan anggota polis membuat serbuan di premis itu pada pukul 2 pagi selepas menerima maklumat berhubung kegiatan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa membuka pintu jeriji besi yang berkunci sebelum dapat memasuki premis berkenaan.

“Apabila serbuan dibuat, terdapat 16 individu iaitu 13 lelaki dan tiga wanita sedang berkumpul di hadapan sebuah meja dan disyaki bermain judi.

“Menyedari kehadiran polis, beberapa orang daripada mereka cuba melarikan diri namun berjaya ditahan. Barangan yang digunakan untuk berjudi turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 50 tahun dipercayai bermain judi jenis ‘paikaw’ dan pertaruhan bagi liga bola sepak luar negara.

Ujarnya, mereka ditahan reman sehingga 14 November dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 5(3) Akta Pertaruhan 1953. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN