16 barangan harga terkawal sepanjang musim perayaan Deepavali - Utusan Malaysia

16 barangan harga terkawal sepanjang musim perayaan Deepavali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 3 Nov. – Skim kawalan harga bagi musim perayaan Deepavali 2018 yang bermula hari ini sehingga 9 November ini akan membabitkan sebanyak 16 jenis barangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antaranya termasuk jenis ayam hidup, standard dan super; telur; tomato; cili merah; kelapa; bawang merah dan bawang besar.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa dan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, para peniaga perlu meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi semua barangan terkawal tersebut untuk membezakannya dengan barangan lain.

Tambah beliau, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan peniaga diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Skim ini bagi memastikan pengguna memperoleh barangan keperluan musim perayaan pada harga berpatutan dan menyekat peningkatan harga melampau.

“Selain itu, ini juga merupakan langkah kerajaan bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan bersama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri di Pasar Awam Taman Tun Sardon, Gelugor, di sini pagi tadi.

Mengulas mengenai tinjauan itu, Abdul Halim berkata, beliau berpuas hati selepas mendapati peniaga mematuhi harga jualan barangan di bawah skim kawalan tersebut malah ada yang menjualnya dengan lebih murah.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai supaya turut memainkan peranan memantau harga barangan dengan melaporkan terus kepada KPDNHEP sekiranya mendapati terdapat peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga.

Tambahnya, aduan itu boleh disalurkan menerusi beberapa medium termasuk aplikasi WhatApps di talian 019-279 4317 atau menghubungi KPDNHEP negeri di talian 04-255 2555/04-255 2556. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN