KOTA TINGGI 6 Nov. – Menjalankan program kemasyarakatan dalam usaha untuk memberikan sumbangan menerusi pelbagai bentuk kepada kumpulan disasarkan bukan sesuatu yang baharu, malah aktiviti seumpama itu sudah sebati dengan rakyat negara ini.
Tidak kira dalam apa jua keadaan, program seperti itu sering menjadi pilihan sebagai sebahagian aktiviti amal dan lebih meriah apabila dianjurkan secara kerjasama dengan pelbagai pihak baik daripada agensi kerajaan mahu pun pihak swasta.
Baru-baru ini, Program Khidmat Masyarakat di Kampung Sedili Besar di sini membabitkan pelbagai aktiviti dijalankan secara kerjasama oleh Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili dan Institut Kemahiran Mara Johor Bahru (IKM JB).
Program selama dua hari bermula 1 November lalu yang disertai lebih 150 orang termasuk penuntut IKM JB dan penduduk kampung itu turut mendapat kerjasama Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Belia Daerah Kota Tinggi.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain, program itu bukan kali pertama pusat khidmat DUN kawasan tersebut menganjurkan program khidmat masyarakat, malah usaha itu dijalankan secara berterusan dan kali ini diadakan pada skala besar dengan mendapat kerjasama pelbagai pihak.
“Kita bukan hanya menjalankan aktiviti pembersihan di kawasan rumah, sekolah, jeti, tanah perkuburan dan dewan serbaguna tetapi kita juga membantu membetulkan pendawaian rumah yang terpilih dengan IKM JB selain melawat rumah orang sakit.
“Saya percaya program khidmat masyarakat merupakan aktiviti yang paling dekat dengan rakyat di mana perkhidmatan itu dapat diberikan terus kepada mereka selain dapat mengeratkan lagi hubungan dengan semua pihak terlibat,” katanya di sini baru-baru ini.
Sementara itu, penyelaras program dari IKM Johor Bahru, Mohd. Ariff Yahaya berkata, pasukan khidmat masyarakat institut tersebut aktif menjalankan kerja kemasyarakatan di negeri ini sepanjang tahun ini termasuk menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi dan NGO.
Tambahnya, pada program itu, IKM JB yang merupakan sebuah institusi pendidikan dalam bidang elektrik turut mengambil inisiatif menjalankan kerja pendawaian elektrik di dua buah rumah penduduk yang dipilih berdasarkan cadangan pemimpin setempat dan berdaftar dengan e-kasih.
Beliau berkata, seramai 12 penuntut diberi tanggungjawab melaksanakan kerja itu dengan dipantau tenaga pengajar berpengalaman dan dana serta peralatan bagi kerja tersebut disumbangkan beberapa syarikat dan orang perseorangan.










