MARAN 8 Nov. – Sebanyak 14.8 peratus penduduk negeri ini berusia 18 tahun dan ke atas menghidap diabetes membuktikan penyakit itu menjadi ancaman terhadap kesihatan rakyat.
Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Mohamed Sapian Mohamed berkata, daripada statistik itu, 6.3 peratus kes diketahui manakala 8.6 peratus kes sebaliknya setelah individu terlibat menerima rawatan kes penyakit lain.
Hal demikian bermakna, kata beliau, separuh daripada jumlah tersebut masih belum didiagnosis memandangkan diabetes merupakan penyakit senyap dan individu terbabit tidak pernah menjalani kesihatan saringan kesihatan.
“Masyarakat Melayu merupakan penghidap tertinggi diikuti Cina, India, Orang Asli dan lain-lain etnik.
“Dari segi kelompok usia, mereka yang berusia 60 tahun ke atas penghidap tertinggi diikuti kelompok usia 30-59 tahun dan usia 20-29 tahun serta di bawah usia 20 tahun,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Diabetes Sedunia peringkat negeri di Dewan Jubli Perak Maran di sini hari ini.
Mohamed Sapian mengajak rakyat mengambil pelbagai langkah penjagaan kesihatan sempena Hari Diabetes Sedunia yang bertemakan Cakna Diabetes Keluarga Prihatin, Kesihatan Terjamin.
Kata beliau, antara usaha berkenaan ialah makan secara sihat dan mengikut ‘Pinggan Sihat Malaysia’ iaitu mengurangkan makanan yang tinggi lemak dan gula termasuk meningkatkan pengambilan buah serta sayur-sayuran.
Tambahnya, sambutan Hari Diabetes bertujuan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penyakit kencing manis dan kesannya kepada ahli keluarga serta kumpulan sokongan.
“Di samping itu, ia dapat mengurangkan stigma masyarakat terhadap penyakit diabetes dan menggalakkan orang untuk mendapatkan rawatan jika perlu.
“Masyarakat juga dinasihatkan agar tidak mudah terperdaya dengan iklan produk kesihatan yang tidak mendapat pengiktirafan Kementerian Kesihatan,” katanya.










