12 maut banjir kilat di Jordan - Utusan Malaysia

12 maut banjir kilat di Jordan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMMAN 10 Nov. – Seramai 12 orang maut manakala lima lagi masih hilang dalam bencana banjir kilat di negara itu semalam.

Cuaca buruk tersebut turut menyaksikan lebih 3,700 pelancong asing terpaksa dipindahkan oleh pihak berkuasa tempatan dari bandar Petra, sebuah kawasan pelancongan yang terkenal.

Banjir di bandar Petra dan beberapa kawasan berdekatan gurun Wadi Mussa menyaksikan airnya meningkat antara tiga hingga empat meter dan membanjiri jalan utama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hujan lebat di wilayah Daaba, selatan Amman menyebabkan penutupan lebuh raya gurun (menghala ke arah selatan Jordan) di kedua-dua arah selepas kawasan itu ditenggelami air,” kata jurucakap wanita kerajaan, Jumana Ghneimat.

Ujar Ghneimat, dua wanita dan seorang kanak-kanak merupakan antara mangsa yang maut.

Dalam pada itu, menurut sumber pertahanan awam, seorang lagi kanak-kanak maut di kawasan Madaba, juga di selatan Amman, selepas kereta dinaiki­nya terperangkap dalam banjir.

“Pasukan penyelamat masih berusaha mencari lima lagi mangsa yang masih hilang di kawasan berkenaan,” ujar sumber itu.

Lapor stesen televisyen tempatan, tentera Jordan te­lah mengerahkan helikopter dan kenderaan berperisai untuk membantu misi pencarian mang­sa serta menolong penduduk tempatan yang terjejas akibat banjir.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Jordan mengarahkan agar sekolah ditutup di seluruh negara hari ini.

Ghneimat turut menggesa penduduk tempatan di kawasan terjejas dan rendah untuk me­ninggalkan kediaman mereka selepas hujan lebat diramal te­rus berlaku pada hari ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×