11 juta kanak-kanak akan mati akibat pneumonia - Utusan Malaysia

11 juta kanak-kanak akan mati akibat pneumonia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS – Pneumonia atau radang paru-paru akan membunuh hampir 11 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun menjelang 2030, kata pakar-pakar semalam berhubung penyakit tersebut yang dianggap ‘pembunuh’ utama bayi di seluruh dunia.

Di negara-negara maju, pneumonia kebanyakannya menjangkiti warga emas, namun, kanak-kanak menjadi mangsa jangkitan tersebut di negara-negara membangun dengan beratus-ratus ribu orang meninggal dunia pada setiap tahun.

Pada tahun 2016 sahaja, lebih 880,000 anak kecil, kebanyakannya berumur bawah dua tahun meninggal dunia akibat jangkitan pneumonia.

Analisis baharu yang dilakukan oleh Universiti Johns Hopkins dan agensi bantuan, Save the Children mendapati lebih 10.8 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun bakal menjadi korban penyakit tersebut menjelang akhir dekad akan datang.

Menurut kajian tersebut lagi, segelintir negara dijangka menanggung beban terbesar dengan lebih 1.7 juta kanak-kanak diramal meninggal dunia akibat pneumonia di Nigeria dan India, 700,000 di Pakistan serta 635,000 lagi di Republik Demokratik Congo.

Begitupun, masih terdapat berita baik. Kajian sama yang disiarkan pada Hari Pneumonia Sedunia, mendapati bahawa nyawa seramai 4.1 juta kanak-kanak dapat diselamatkan dengan memperluaskan program vaksinasi sedia ada, menggunakan ubat antibiotik dan memastikan kanak-kanak mendapat zat yang mencukupi.

Pneumonia merebak menerusi jangkitan bakteria ataupun virus. Penyakit itu boleh diubati sekiranya dikesan dari awal dan sistem imunisasi pesakit tidak bermasalah.

Bagaimanapun, penyakit itu cenderung menjangkiti anak kecil yang me­ngalami kekurangan zat makanan di seluruh dunia. Pneumonia membunuh lebih ramai kanak-kanak pada setiap tahun berbanding kombinasi demam malaria, cirit-birit dan demam campak. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN