KUALA LUMPUR 3 Nov. – Sebanyak 1,038 orang berjaya mencatat sebagai jumlah paling ramai bagi acara tai chi kategori murid sekolah rendah untuk Malaysia Book of Record (MBR).
Murid-murid dari 17 buah sekolah di kawasan Selangor termasuk dua rumah anak yatim Jalinan Kasih serta Tengku Badriah Cheras terlibat di dalam program berkenaan.
Ini merupakan kali pertama bagi acara tai chi kategori murid berjaya mencatat rekod di MBR, manakala acara tai chi terbuka yang dianjurkan pada tahun 2016 berjaya mengumpul seramai 1,903 orang dari seluruh negara.

Naib Presiden Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat Malaysia (YBKMM), Datin Amy Teo berkata, tai chi merupakan satu senaman yang boleh membantu membawa kesejahteraan kesihatan dalam kalangan masyarakat.
“Kita ingin generasi muda yang cergas dan cerdas jadi dengan melakukan senaman ini mereka akan berasa lebih bertenaga kerana tai chi merupakan salah satu senaman yang boleh memupuk anak-anak muda untuk mempunyai tubuh badan yang sihat.
“Tai Chi dapat membuat seseorang itu lebih fokus terhadap setiap aktiviti dan pelajaran mereka,” katanya ketika ditemui di Kempen Tai Chi beramai-ramai demi Kesejahteraan Masyarkat di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) On Pong 2 di sini hari ini.
Bagi Ashadieeyah Sofea Saw, 11, pelajar SJK (C) Kg Baru Ampang, tai chi adalah satu senaman yang boleh menenangkan diri seseorang kerana pergerakkan yang dilakukan memerlukan tahap kesabaran yang amat tinggi.
“Saya berasa lebih tenang setelah melakukan aktiviti pagi ini kerana pergerakan tai chi ini amat perlahan dan perlukan kesabaran.
“Walaupun ini merupakan pertama kali saya sertai tai chi tetapi saya rasa perkara ini perlu diteruskan di sekolah bagi memastikan setiap pelajar lebih cergas,” katanya.
Menurut Muhammad Sharil Faizal, 11, tai chi adalah salah satu cara untuk mempelajari seni mempertahankan diri kerana setiap pergerakkan yang dilakukan ada caranya yang tersendiri.
“Seronok apabila dapat mempelajari tai chi kerana secara tidak sedar saya juga boleh belajar cara mempertahankan diri dan saya juga dapat rasa lebih tenang selepas melakukan aktviti pagi ini,” ujarnya. Terdapat 600 juta pengamal tai chi di seluruh dunia dimana mereka aktiviti ini sebagai rutin harian untuk kekal sihat dan bertenaga. – UTUSAN ONLINE










