Wanita berusia 35 tahun ini, mengambil keputusan berhenti kerja makan gaji selepas lapan tahun berkhidmat sebagai broker insurans, untuk sepenuh masa membantu suami menjalankan perniagaan susu kambing segar.
Namun, pernah suatu ketika kambing yang diternak kering susu membuatkan Zulaiha Zulkifli gusar putus punca pendapatan.
Kebetulan, rakannya mengajak dia membantu dalam perniagaan pengiklanan dan percetakan dengan mewakilkan dia bertemu pelanggan.
Namun, disebabkan beberapa isu yang timbul, Zulaiha memilih untuk bergerak sendiri setahun kemudian.
“Apabila bertanya dengan suami, ternyata dia yakin saya mampu menjalankan perniagaan pengiklanan sendiri. Jadi tanpa berfikir lama saya untuk terus membina tapak dalam industri itu.
“Suami juga mempunyai pengalaman selama 18 tahun dalam pembuatan papan iklan sebelum menceburkan diri dalam bidang penternakan.
“Jadi, saya fikir sekurang-kurangnya ada yang boleh memantau kerja saya, memandangkan saya sendiri kurang pengalaman untuk saya memahami segala-galanya tentang pengiklanan papan tanda.
“Suami juga yang mencadangkan nama syarikat, iaitu singkatan SIS diangkat sebagai jenama kerana saya bergerak sepenuhnya secara online. Singkatan tersebut juga sesuai dengan trend sekarang yang banyak mengguna pakai panggilan ‘sis’ untuk berinteraksi dan pada masa yang sama, nama itu juga sebagai simbolik bahawa wanita juga boleh menceburi bidang yang dikatakan hanya sesuai untuk lelaki,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Zulaiha beruntung kerana berada dalam komuniti rangkaian perniagaan, Business Network International (BNI), yang mana ahli-ahlinya banyak membantu dia mendapatkan pelanggan yang mencari pembuat papan iklan.
Namun, benar kata orang tiada jalan mudah dalam perniagaan, sebaliknya usaha serta keazaman tinggi sahaja menjadi penentu kejayaan.
Sebagai ‘orang baharu’, Zulaiha juga bergelut dengan pelbagai kesukaran sebelum berada pada kedudukan sekarang.
Wanita ini, mengakui pada peringkat awal perniagaan, dia langsung tidak mengenali setiap material papan tanda, teknik yang digunakan, ketebalan, saiz dan warna atau jenis papan tanda.
Namun, setiap pelanggan yang datang, dia berusaha sehabis baik menjawab setiap soalan yang dikemukakan supaya mereka akhirnya mengambil khidmat yang ditawarkan, meskipun dia sendiri tidak pasti sama ada mampu menyiapkan produk yang diminta.
“Jujur saya kata, pada mulanya saya hanya buat-buat tahu sahaja setiap papan tanda yang diminta pelanggan. Saya sentiasa tampil yakin supaya mereka mempercayai perkhidmatan saya, tapi hanya Tuhan sahaja yang tahu debaran hati saya setiap kali soalan dilontarkan bimbang tersalah jawab.
“Pernah juga sepanjang pertemuan dengan pelanggan saya curi-curi ke belakang menghubungi pembekal material untuk bertanya kembali soalan yang ditanya pelanggan. Mujur pembekal faham keadaan saya, langsung tak lokek berkongsi ilmu. Menariknya, kebanyakan pembekal adalah orang Cina.
“Dari situ saya belajar dari mereka dan mula mengenali perkara-perkara asas dalam penghasilan papan tanda. Dalam tempoh dua tahun sahaja saya sudah menguasai selok-belok perniagaan,” katanya yang berasal dari Subang Jaya.
Selain itu, dia juga percaya pada kerjasama yang dilakukan bersama pengusaha-pengusaha lain yang terbabit dalam industri pengiklanan papan tanda dengan berkongsi pelanggan.
Baginya, kebergantungan sesama peniaga dapat memberi peluang lebih besar pada masa hadapan.
Katanya, jika terlalu tamak mengejar keuntungan secara individu tanpa memikirkan tahap kemampuan diri boleh menyebabkan apa yang dihasilkan tidak menjadi.
Sebagai contoh, jika pelanggannya masih tidak mempunyai rekaan grafik sebelum dijadikan papan tanda, Zulaiha akan menyerahkan tugas tersebut kepada rakan niaga yang ada menawarkan khidmat tersebut kerana sedar dia tidak mempunyai kemahiran reka bentuk.
“Rezeki itu Allah dah atur untuk kita, baik yang kita buat, maka baik yang kita akan dapat.
“Dalam perniagaan, saya percaya kerjasama itu lebih baik daripada bersaing kerana kita sama-sama cari makan, jadi tak salah kalau kita berkongsi.
“Saya belajar ini daripada peniaga Cina. Mereka tidak amalkan ‘makan’ atau mencari untung seorang, sebaliknya berkongsi keuntungan dengan peniaga lain. Bagi mereka, tidak ada peniaga yang boleh hidup sendiri melainkan mereka perlu bergantung antara satu sama lain.
“Konsep yang diamalkan ini membuatkan komuniti mereka berjaya menguasai ekonomi. Berbeza, orang kita yang sebahagian masih dikuasai apabila nilai-nilai negatif seperti hasad dengki dan iri hati apabila melihat dalam kalangan bangsa sendiri lebih ke hadapan,” ujarnya yang tidak mengetepikan elemen lain seperti kesabaran, kesungguhan, tiada perasaan malu serta tekun berusaha untuk berjaya.
Bawa pelanggan naik kren pasang papan tanda
Benar kata orang, di sebalik kegelapan pasti ada cahaya yang bersinar jika sabar dan usaha menjadi pegangan.
Hari ini, kesungguhan Zulaiha dalam bidang perniagaan nyata berbaloi, malah paling membanggakan apabila papan tanda yang dihasilkan syarikatnya pernah ditempah oleh seorang pengusaha makanan dari Copenhagen, Denmark.
Dia sendiri tidak menyangka produk-produk yang dihasilkan SIS mendapat permintaan yang menggalakkan meskipun ramai pengusaha yang menawarkan produk yang hampir sama.
Baginya, dalam menjayakan sesuatu perniagaan yang mempunyai banyak pengusaha, elemen seperti unik dan kelainan perlu ada, tidak kira sama ada dari segi penghasilan produk mahupun servis yang ditawarkan.
Ujarnya, selain menitikberatkan kualiti untuk setiap penghasilan produk dia juga menekankan pada hubungan baik dengan pelanggan, yang mana tidak banyak agensi turun padang bertemu pelanggan sehingga ke peringkat kerja-kerja pemasangan papan tanda selesai kerana biasa mereka hanya menyerahkan bulat-bulat kepada kontraktor pemasangan.
“Kebiasaannya, pelanggan mahu saya ada dengan mereka sehingga papan tanda yang ditempah itu dipasang. Jadi, saya cuba sedaya upaya untuk mengosongkan jadual agar dapat turut sama melihat kontraktor memasang papan tanda.
“Kadangkala mereka mahu kita ada di sana bukan kerana mahu mengkritik hasilnya tetapi lebih kepada menyatakan kepuasan terhadap perkhidmatan yang diberikan,” katanya.
Menurut Zulaiha lagi, ada ketikanya dia akan mengajak pelanggan yang menempah papan tanda gergasi untuk turut menaiki kren ketika kerja-kerja pemasangan sebagai simbolik kepada kejayaan mereka berjaya mengusahakan sebuah perniagaan.
Nasihatnya kepada anak-anak muda yang mahu berkecimpung dalam dunia perniagaan, pastikan setiap yang ingin diusahakan itu dilakukan sehingga berjaya, bukan melakukannya sekadar separuh jalan dan berputus asa dengan hasilnya.
“Kalau gagal, anda memang berhak untuk berasa putus asa, tetapi jangan terlalu lama melayan perasaan tersebut.
“Kembalikan semangat, cari satu sahaja kejayaan kita sepanjang berniaga dan jadikan itu sebagai sumber inspirasi untuk bangkit kembali.
“Sekadar pintar berniaga tidak dapat memberikan hasil yang berkekalan, sebaliknya harus disusuli dengan sifat-sifat seperti agresif, berani, tahan lasak, bersemangat dan sanggup berjuang bagi merebut segala peluang yang tersedia,” katanya.











