LAS VEGAS 8 Okt. – Zubaira Tukhugov, rakan sepasukan dan senegara Khabib Nurmagomedov meletakkan masa depannya dalam bahaya apabila dengan bangganya mengakui, dia telah memukul Conor McGregor dalam kekecohan sejurus tamat pertarungan Ultimate Fighting Championship (UFC) 299, semalam.
Khabib, 30, berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan lightweight di T Mobile Arena, Las Vegas itu, namun pertarungan tersebut dibayangi insiden petinju Rusia itu melompat dari kurungan dan menyerang jurulatih McGregor, Dillon Danis hingga mencetuskan pergaduhan besar-besaran.
Dalam sidang akhbar, Khabib meminta maaf, namun menjelaskan, provokasi keterlaluan McGregor yang menghina agama, keluarga dan negaranya menyebabkan dia bertindak di luar batas.
“Pertama sekali, saya ingin memohon maaf kepada suruhanjaya sukan ini dan Las Vegas. Saya tidak membawa diri dengan baik, saya hanya manusia biasa.
“Bagaimanapun dia (McGregor) menyentuh tentang agama, negara dan bapa saya. Bapa saya mengajar saya menghormati orang lain tetapi Conor hampir membunuh dua orang dalam bas (insiden sebelum ini),” kata Khabib.
Ketika kekecohan berlaku, gambar Zubaira sedang memukul McGregor juga berjaya dirakam dan tersebar di media sosial.
“Saya menampar dia seperti yang dijanjikan.
“Saya sudah berjanji untuk membuatkan dia ‘menjawab’ semua kata-katanya dan saya telah lakukan hari ini,” kata Zubaira dalam media sosial.
Khabib mungkin berdepan penggantungan atas tindakannya, manakala masa depan Zubaira, 27, dalam UFC kini samar.
McGregor memutuskan untuk tidak memuat dakwaan terhadap insiden tersebut tetapi Presiden UFC, Dana White berang dengan tindakan Khabib yang dianggap tidak boleh diterima. – AGENSI









