Zu suka bau hutan - Utusan Malaysia

Zu suka bau hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEINDAHAN dan kedamaian alam semula jadi boleh menjadi terapi terbaik kepada sesiapa sahaja yang ingin lari daripada hiruk-pikuk kota.

ALOR SETAR 13 Oktober 2018 - Temubual Zuraini Baharom untuk ruangan
ZURAINI BAHAROM menyimpan impian untuk menerokai Black Forest di Jerman suatu hari nanti. – IHSAN ZURAINI BAHAROM 

Bau hutan dan bunyi air terjun yang mengasyikkan bagaikan terapi buat Zuraini Baharom. Lantaran itu, gadis kelahiran Alor Setar, Kedah ini begitu mencintai alam hutan sehingga mendorongnya terjebak dalam dunia mendaki sejak alam persekolahan lagi.

Aktiviti yang dilakukan bersama rakan-rakan di zaman persekolahan dan universiti itu membawa gadis berusia 23 tahun itu menerokai Hutan Telok Bahang dan Bukit Bendera di Pulau Pinang; Gua Tempurung, Bukit Berekeh serta Royal Belum di Perak.

“Jika diberi pilihan sama ada bercuti di kota-kota besar yang mempunyai bangunan cantik atau hutan, sudah tentu alam semula jadi menjadi keutamaan saya. Saya sangat suka bau hutan dan bunyi air terjun kerana itu seumpama terapi buat diri saya.

“Malah, saya sangat berharap suatu hari nanti akan dapat menerokai Black Forest di Jerman yang mempunyai bentuk muka bumi yang menarik serta kepelbagaian jenis pokok unik dan bersaiz besar,” katanya kepada S2.

Menurut Zuraini, minat yang mendalam terhadap alam semula jadi menyebabkan anak ketiga daripada empat beradik itu cenderung memilih untuk menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan seni bina landskap.

“Jurusan seni bina landskap ini memberi peluang kepada saya untuk menghasilkan ruang hijau dan suasana nyaman meskipun berada di kota besar.

“Bagi saya, seni bina landskap bukan sahaja bergantung kepada pokok semata-mata tetapi elemen lain seperti air, batu-batuan, bentuk muka bumi selain budaya di sesuatu tempat,” ujarnya yang juga gemar membaca dan melayari Internet pada waktu lapang.

Tambah gadis yang mesra dengan panggilan Zu itu, dia sangat berharap dapat berkongsi dan menarik lebih ramai orang untuk turut sama menghargai alam semula jadi dalam kehidupan harian mereka dalam usaha mengekalkan kedamaian alam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN