Zamani mohon maaf, status tarik diri masih belum terjawab - Utusan Malaysia

Zamani mohon maaf, status tarik diri masih belum terjawab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR- Penyanyi, Zamani membuat kenyataan maaf secara terbuka di laman Instagramnya berkenaan kegagalan membuat persembahan pada malam konsert minggu kelima Gegar Vaganza musim lima (GV5), Ahad lalu.

Vokalis kumpulan Slam itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan kepadanya sepanjang GV5 berlangsung.

“Saya memohon maaf kerana tidak dapat menyampaikan tugasan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta pada konsert minggu kelima.

“Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan padu dengan tolong menyanyikan lagu itu bersama-sama untuk saya,”tulisnya di status tersebut.

Sementara itu, meskipun sudah meminta maaf, teka-teki sama ada pelantun Gerimis Mengundang itu akan menarik diri selepas diberikan imuniti oleh Datuk Seri Aliff Syukri selaku penaja utama rancangan masih belum terjawab.

Menurut pengurusnya, Aalan Ahmad, keputusan tentang penarikan diri akan dibuat selepas semua hal tentang kesihatan Zamani dipertimbangkan sebaiknya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN