KUALA LUMPUR 30 Okt. – Penyanyi bersuara emas, Zamani seharusnya menggunakan peluang kedua yang diberikan penaja Gegar Vaganza (GV) kelima untuk terus berusaha memberikan komitmen bagi merebut kejuaraan program realiti itu.
Juara GV musim ketiga, Azharina berkata, sudah menjadi adat pertandingan ada kalah dan menang jadi Zamani perlu menjaga kesihatan fizikal dan mental untuk meneruskan pertandingan.
“Dugaan GV ini tiada siapa yang tahu selagi tak bertanding. Muntah darah, tak keluar suara itu perkara normal yang berlaku. Mahu tak mahu, kena telan.
“Sebagai peminat dan rakan artis, saya sudah nasihat pengurusan Zamani untuk memastikan kesihatan mental dan fizikal penyanyi itu sentiasa dalam keadaan terbaik.
“Jadi gunakan peluang itu dan memberi persembahan yang terbaik kepada semua peminat,” katanya yang ditemui semasa pelancaran single baharunya, Lakar Janji di sini hari ini.
Dalam pada itu, Azharina berkata, mustahil sesuatu pertandingan tidak ada peserta yang menggunakan ilmu hitam untuk merebut kejuaraan.
“Tipulah kalau tak ada. Tapi saya selalu percaya kepada Allah. Tawakal dan percaya dengan rezeki,” katanya. – UTUSAN ONLINE










