Zainuddin Maidin saran perkhidmatan teksi dihapuskan - Utusan Malaysia

Zainuddin Maidin saran perkhidmatan teksi dihapuskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Okt. – Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menyarankan agar perkhidmatan teksi di negara ini dihapuskan berikutan sikap biadab segelintir pemandu teksi terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dalam Twitternya, Zainuddin mendakwa sikap biadab pemandu teksi bukan sahaja terhadap Perdana Menteri tetapi juga bersikap kurang ajar terhadap pelanggan awam.

Zainuddin dalam Twitternya juga mendakwa pemandu teksi tidak seharusnya diberi muka kerana mempunyai sifat penipu dan pemeras.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemandu teksi di Langkawi bersikap biadab dalam pertemuan dengan Tun Dr. Mahathir. Itu dengan Tun,  sikap mereka di mana-mana lebih kurang ajar terhadap awam.

“Lebih baik hapuskan sahaja teksi tinggal Grab sahaja.Mereka bukan jenis manusia yg patut diberi muka. Penipu dan pemeras,” kata Zainuddin.

 

Menurut Zainuddin, beliau sendiri banyak kali dikenakan bayaran berlebihan dan mahu kerajaan  bertindak tegas supaya semua pemandu teksi berbudi bahasa seperti pemandu teksi di London yang seratus peratus baik.

Zainuddin berkata demikian sebagai reaksi terhadap segelintir pemandu teksi yang bersikap biadab kerana mengeluarkan perkataan kurang sopan dan keluar dari dewan pada sesi Pertemuan Bersama Pemandu-Pemandu Teksi Langkawi di Dewan Kencana, Langkawi Lagoon semalam.

Tindakan segelintir pemandu teksi tersebut menyebabkan Dr. Mahathir meluahkan perasaan bahawa beliau akan meletakkan jawatan kalau ada yang tidak mahu beliau menjadi Perdana Menteri.

“Saya sendiri banyak kali kena bayaran berlebihan. Kerajaan mesti bertindak tegas supaya semua pemandu teksi berbudi bahasa, bukan ada yang baik dan ada yang jahat. Di London seratus peratus baik.

“Setakat ini lebih 40,000 orang kunjungi Tweet saya kutuk pemandu teksi biadap terhadap Dr. Mahahthir tapi persatuan teksi dedahkan itu perbuatan individu pemakan dedak dan bukan anggotanya. Ajar mereka.” kata Zainuddin.

Pada sesi Pertemuan Bersama Pemandu-Pemandu Teksi Langkawi lebih 200 pemandu teksi meluahkan perasaan agar perkhidmatan Grab diharamkan kerana didakwa menyebabkan punca perkhidmatan mereka tergugat.

Dr. Mahathir mengulangi pendirian bahawa perkhidmatan e-hailing Grab tidak akan dihapuskan untuk mewujudkan persaingan antara pemandu teksi.

Bagaimanapun kata Perdana Menteri, pihaknya akan mencari kaedah terbaik bagi memastikan nasib pemandu teksi di negara ini turut dibela.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini