KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 45 pertuduhan melibatkan 10 kes pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 kes pengubahan wang haram.
Pertuduhan pecah amanah dan menerima suapan melibatkan RM42 juta manakala pertuduhan pengubahan wang haram pula membabitkan RM72 juta.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid, 65, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu kelihatan tenang meskipun terpaksa berdiri selama 55 minit ketika pertuduhan dibacakan.










