SELURUH negara menerima khabar gembira apabila skuad hoki bawah 18 tahun (B-18) Malaysia berjaya merangkul pingat emas dalam acara hoki lima sebelah (5’s) apabila menewaskan salah satu pasukan pilihan, India 4-2 pada aksi final di Taman Olimpik Argentina, Buenos Aires awal pagi semalam.
Lebih membanggakan, pemain sensasi negara, Muhamad Akhimullah Anuar Esook dinobatkan selaku penjaring terbanyak kejohanan dengan keseluruhan 22 gol termasuk dua jaringan pada perlawanan akhir Sukan Olimpik Remaja (YOG) 2018.
Kejayaan skuad kendalian Wallace Tan tersebut merupakan pingat emas kedua buat Malaysia. Sebelum itu, jaguh badminton perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei meraih emas pertama selepas mengetepikan pemain pilihan kedua kejohanan dari China, Wang Zhiyi 16-21, 21-13, 21-19 pada perlawanan akhir di Technopolis, Sabtu lalu.
“Saya masih tidak percaya dapat memenangi pingat emas, rasa seperti bermimpi kerana ini adalah kali pertama Malaysia layak pada kejohanan berstatus Olimpik untuk peringkat umur bawah 18 tahun,” kata Akhimullah.










