KLANG 8 Okt. – Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohamad Yasid Bidin menerima penghargaan antarabangsa menerusi anugerah City Manager of the Year dan Excellence in the City Management yang diadakan di Cannes, Perancis sempena The International Festival Triumph and European Awards Night 2018, baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, pihaknya sangat berbangga dengan anugerah yang diterima dan menganggap ia merupakan hadiah bernilai buat warga pihak berkuasa tempatan (PBT) itu MPK dan penduduk Klang khususnya.
“Tahniah kepada Datuk Mohamad Yasid yang mendapat pengiktirafan dan anugerah di peringkat Antarabangsa. Warga MPK sangat berbangga dengan anugerah yang diterima ini yang merupakan hadiah amat bernilai buat MPK khususnya dan juga warga Klang Bandar Diraja amnya,” katanya di sini, hari ini.
Norfiza yang juga Penyelaras Kualiti dan Inovasi MPK menjelaskan, pencapaian itu merupakan kejayaan amat berharga kerana buat julung kali, Yang Dipertua MPK menerima pengiktirafan di peringkat Antarabangsa.
Menurutnya, beliau berharap MPK akan beroleh kejayaan demi kejayaan yang menjulang nama PBT itu pada masa depan.
“Ribuan terima kasih diucapkan kepada warga MPK dan penduduk Klang yang memberikan sokongan kepada beliau (Mohamad Yasid) sepanjang berkhidmat di MPK,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Yasid menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menaikkan nama MPK sepanjang tempoh beliau bekerja di PBT berkenaan.
Pencalonan Mohamad Yasid untuk menerima anugerah sebagai City Manager of the Year adalah hasil daripada penyelidikan dan sumber maklumat yang diperoleh oleh pihak penganjur berdasarkan beberapa kriteria.
Antaranya kajian sosiologi berdasarkan statistik data kebangsaan dan antarabangsa, cadangan daripada pihak berkuasa antarabangsa, badan kerajaan, organisasi kebangsaan dan antarabangsa serta persatuan.
Selain itu, dokumen dan analisis media serta hubungan sosial, berita serantau dan portal pelancongan.
Terdahulu, pada tahun ini, MPK turut menerima anugerah di luar negara antaranya The Green Era dan International Achievement Award for Quality and Business Excellece.
Selain itu, anugerah International Convention on Quality Control Circle, Green World Ambassador, Green World dan Green Apple Environment. – UTUSAN ONLINE







