Xavier diberi surat amaran - Utusan Malaysia

Xavier diberi surat amaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang menteri dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dua Ahli Parlimennya yang menjadi calon pada pemilihan parti diberikan surat amaran selepas aduan dibuat terhadap mereka kepada Jawatankuasa Aduan, Rayuan dan Disiplin parti.

Mereka ialah Menteri Sumber Asli, Tanah dan Galian, A. Xavier Jayakumar; Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui.

Xavier dan Leow bertanding jawatan Majlis Kepimpinan Pusat PKR manakala Akmal Nasrullah berjaya mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Johor Bharu pada pemilihan parti itu, 30 September lalu dan bertanding merebut jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Memuatkan artikel berkaitan…

Jawatankuasa tersebut dalam suatu kenyataan semalam bagaimanapun berkata, surat yang dikeluarkan terhadap calon-calon tersebut tidak menyebut butiran sebab-sebab amaran berkenaan.

Dalam pada itu, kata kenyataan itu, sebanyak 13 aduan diterima pihak mereka sepanjang pemilihan parti berlangsung dan ia telah diteliti dalam satu mesyuarat pada 17 Oktober lalu.

“Sembilan daripada aduan tersebut ditolak manakala empat lagi disiasat dan diambil tindakan termasuk membatalkan keahlian seorang ahli yang membuat kecoh ketika pemilihan di Merbok, Kedah pada 27 September lalu,” kata kenyataan itu di sini semalam.

Aduan membabitkan pemilihan di Cabang PKR Jerai dibawa ke Jawatankuasa Disiplin parti untuk tindakan lanjut, kata kenyataan itu.

“Semua keputusan jawatankuasa ini adalah muktamad sebagaimana yang telah ditetapkan dalam Peraturan dan Tatacara Pemilihan Parti 2018,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Rashid Din berkata, hanya ketua pengawas dan pengawas yang disahkan oleh beliau dan timbalannya, Dr. Adzman Hendra boleh bertugas pada hari pengundian parti tersebut.

“Sehubungan itu, sebarang arahan atau komunikasi yang bukan dari kalangan mereka yang dilantik adalah tidak diakui sah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini