Wujudkan pasukan CPR di pejabat - Utusan Malaysia

Wujudkan pasukan CPR di pejabat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KECEMASAN adalah satu keadaan yang berlaku di mana kebanyakan daripada kita tidak berada dalam keadaan bersedia.

Ia menyebabkan panik dan kadang-kala berlaku tindakan di luar kawalan yang mungkin boleh memudaratkan.

Kecemasan yang paling menakutkan boleh berlaku di rumah atau pejabat apabila salah seorang daripada ahli keluarga atau rakan sekerja menghadapi masalah kesihatan yang menyebabkan mereka berhenti bernafas dan jantung tidak berdenyut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mereka memerlukan satu bantuan kecemasan yang dipanggil pemulihan pernafasan dan jantung iaitu resusitasi kardiopulmonari (CPR). Mungkin ramai yang pernah dengar mengenai CPR, namun berapa ramaikah yang tahu bagaimana CPR dilakukan.

Tidak mengejutkan jika hakikatnya ramai yang tidak tahu bagaimana CPR dilakukan.

Kenyataan ini sepatutnya menyedarkan kita betapa sia-sianya peluang untuk menyelamatkan orang lain di saat kecemasan hanya kerana kita tidak tahu melakukan CPR.

Organ vital

Pengarah Fakulti CPR Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr. Azhari Rosman berkata, CPR adalah satu kemahiran yang perlu dipelajari oleh setiap orang termasuk golongan dewasa yang sudah bekerja, pelajar institusi pengajian tinggi mahupun pelajar sekolah.

Jelasnya, risiko kematian akibat serangan jantung boleh dikurangkan dengan mendapat bantuan awal jika lebih ramai yang tahu melakukan CPR dan penggunaan mesin Automated External Defibrillator (AED).

“Apabila berlakunya serangan jantung, organ itu akan berhenti berdegup sekaligus tidak dapat membekalkan darah beroksigen kepada organ vital termasuk otak.

“Keadaan ini boleh menyebabkan berlakunya kerosakan otak dan kematian sekiranya bantuan kecemasan awal seperti CPR tidak diberi dengan segera kepada mangsa,” katanya kepada pengamai media yang mengikuti kursus Heartsaver CPR-AED Bersama Media di IJN di Kuala Lumpur baru-baru ini ini.

Selain diberi pendedahan dan demonstrasi mengenai teknik yang betul melakukan CPR kepada orang dewasa dan bayi, pengamal media yang hadir turut diberi tunjuk ajar mengenai penggunaan mesin AED serta bantuan awal bagi mangsa tercekik.

Tambah Azhari, CPR yang dilakukan dengan cara yang betul dapat meningkatkan peluang seseorang yang alami serangan jantung untuk hidup antara 10 hingga 20 peratus lebih tinggi.

“Namun, apa yang menyedihkan, kurang daripada 10 peratus rakyat di negara ini tahu mengenai CPR sedangkan ia sesuatu yang amat mudah diajar dan dilakukan termasuk pelajar seawal tahun tiga,” katanya.

Akar umbi

Jelas Azhari lagi, cara yang paling mudah untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya kemahiran CPR adalah memulakan dari peringkat akar umbi dan diteruskan secara konsisten di institusi pengajian tinggi dan di tempat kerja.

Sehubungan itu, Azhari menyarankan agar latihan dan kemahiran CPR dijadikan kokurikulum wajib di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“Pada masa sama, setiap organisasi juga disaran mewujudkan pasukan CPR dalam memberi bantuan awal kecemasan.

“Pasukan CPR ini penting kerana berdasarkan statistik, banyak serangan jantung dikesan berlaku di tempat kerja,” katanya.

Tambahnya, faktor logistik boleh menyukarkan bantuan daripada mereka yang pakar tiba tepat pada masanya terutama jika pejabat tersebut terletak di kawasan yang sesak atau jauh dari hospital.

Dengan adakan pasukan CPR ini, pekerja yang mengalami serangan jantung ini dapat diberi bantuan kecemasan CPR sementara menunggu ambulans tiba sekali gus meningkatkan peluang pesakit untuk hidup.

“Setiap pejabat terutamanya yang memiliki bilangan kakitangan yang ramai juga disaran memiliki mesin AED.

“Bagaimanapun, jika syarikat terbabit mempunyai mesin AED, mereka mestilah mempunyai pekerja yang boleh mengendalikannya,” katanya.

Kata Azhari, kes kematian akibat tercekik juga banyak dilaporkan terutamanya melibatkan kanak-kanak.

“Kes sebegini boleh dielakkan jika ahli keluarga atau mereka yang berhampiran melakukan teknik manuver heimlich iaitu dengan memberi tekanan pada perut mangsa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini