KUALA LUMPUR 26 Okt. – Kejatuhan harga getah yang semakin menjunam ditambah dengan cuaca tidak menentu sehingga membuatkan penoreh hanya memperoleh kira-kira RM450 hingga RM600 sebulan perlu dipandang serius.
Malah, isu terbesar iaitu harga getah sekerap yang terlalu rendah iaitu jauh lebih rendah daripada kos pengeluaran sekilogram getah sekerap berbanding harga jualan sebanyak RM1.80 sekilogram membuatkan penoreh yang bergantung sepenuhnya dengan hasil jualan komoditi itu semakin merana.
Sehubungan itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Datuk Aliasak Ambia mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan mekanisme terbaik bagi membendung masalah berkenaan.
Katanya, penetapan harga lantai seperti yang telah dicadangkan PKPKM sejak dua tahun lalu perlu dilaksanakan supaya pendapatan penggerak utama industri yang bernilai berbilion ringgit iaitu penoreh getah lebih stabil dan terjamin.
“Harga getah sekerap ketika ini terlalu rendah, jauh lebih rendah daripada kos pengeluaran sekilogram getah sekerap iaitu RM3.20 berbanding harga jualan pada RM1.80 sekilogram.
“Satu mekanisme hendaklah diwujudkan kerajaan supaya harga lantai ini dapat dilaksanakan pada kadar RM4 sekilogram iaitu paras yang paling munasabah jika diambil kira kos yang telah dikeluarkan pekebun kecil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










