Waspada penipuan hartanah - Utusan Malaysia

Waspada penipuan hartanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 15 Okt. – Kes penipuan dalam urusan jual beli hartanah di negeri ini makin mening­kat dalam keghairahan rakyat membuat pelaburan bagi jaminan masa depan mereka tanpa memahami selok-belok me­ngenainya.

ALIAS RAZAK

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, mereka perlu berhati-hati dan lebih te­liti agar tidak mudah terperangkap dan menjadi mangsa sehingga berdepan dengan kerugian yang besar.

“Dalam hal ini ilmu mengenai urusan hartanah sangat penting. Pihak pihak kami sering mendapat aduan bila mereka membeli hartanah samada rumah atau tanah. Kecuaian sering berlaku dari segi meneliti perjanjian-perjanjian yang ditandatangani.

“Kecuaian ini menyebabkan mereka terperangkap dan pelaburan ataupun wang yang telah dibelanjakan untuk mendapatkan aset yang ingin dimiliki hilang begitu sahaja,” ujarnya tanpa menyebut jumlah kes yang dilaporkan.

Beliau berkata demikian ke­­pada pemberita dalam akhbar selepas merasmikan Seminar Cakna Hartanah Terengganu 2018 di Dewan Konvensyen Yayasan Pembangunan Usahawan(YPU), di sini baru-baru ini.

Seminar anjuran Falcoedu Education & Tranining itu turut dihadiri, Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia, Datuk Nazri Mustafa dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian negeri, Zainal Abidin Mohamed.

Turut serta Ahyat Ishak yang dianggap ikon dalam bidang hartanah di samping ahli panel yang terdiri daripada Redz Idrus, Dzulkifli Jaafar, Marisa Mamat, Firadus Abdullah, Fariz Mustafa dan Aman Shah.

Seminar tidak bermotifkan keuntungan itu lebih kepada mendidik orang ramai ter­ma­­suk para usahawan bagi menge­tahui hak dan undang-undang berkaitan urusan pembelian serta pelaburan dengan cara yang betul dalam sektor hartanah.

Katanya lagi, rakyat perlu mengambil peluang untuk menambahkan ilmu dalam bidang pemilikan hartanah melalui seminar-seminar yang diadakan oleh pihak-pihak yang terlibat dalam sektor ini.

“Mereka perlu berani menceburi bidang ini tetapi perlu ingat bahawa berani tanpa ilmu, mudah tertipu dan yang paling penting kita perlu pastikan kewangan yang dilaburkan tidak lebur begitu sahaja,” ujar Alias.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN