Warung tepi jalan ‘lubuk’ penyakit? - Utusan Malaysia

Warung tepi jalan ‘lubuk’ penyakit?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Okt. – Gaya hidup rakyat Malaysia yang gemar makan di luar tidak kira di mana-mana premis jualan makanan membuatkan ramai peniaga hanya mencari keuntungan semata-mata dan sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’ apabila melibatkan soal kebersihan.

Soal kebersihan dan pengendalian sumber makanan terutama di warung tepi jalan yang tidak mempunyai sumber air bersih menjadi satu daripada penyebab kes keracunan makanan meningkat setiap tahun.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman berkata, bekalan air bersih amat penting bagi proses pengendalian makanan supaya tidak terdedah pencemaran bakteria.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, ini kerana, proses pembiakan bakteria dalam negara yang panas dan lembap sepanjang tahun seperti di Malaysia adalah lebih cepat berbanding di negara-negara Eropah.

“Sumber air amat penting bagi memastikan kebersihan makanan itu sentiasa terjamin kerana sekiranya tidak dijaga, bakteria boleh merebak dengan mudah.

“Bukan sahaja tidak mempunyai sumber air yang bersih, malah kebanyakan gerai atau warung yang berada di tepi jalan ini terdedah kepada pelbagai pencemaran, tidak kira pencemaran jalan raya atau pun bakteria terutama kebersihan gerai dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan muka hadapan Utusan Malaysia mengenai pelbagai kejadian keracunan makanan yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini sehingga mencetuskan keraguan sama ada makanan yang dimakan di gerai-gerai selamat atau sebaliknya.

Sehubungan itu, Malina menasihati orang ramai lebih berwaspada dan tidak mengambil mudah mengenai aspek kebersihan dengan memilih gerai makanan yang mempunyai sumber air yang bersih.

“Kebanyakan pengguna mungkin memilih gerai tepi jalan ini disebabkan akses yang mudah dan secara umumnya lebih murah dari segi kos berbanding premis makanan lain.

“Namun begitu, kita seharusnya mementingkan aspek kebersihan makanan. Pilihan terbaik tentunya membawa sendiri bekalan dari rumah tetapi jika tak berkesempatan, pilihlah tempat yang benar-benar bersih,” ujar beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini