RAWANG 26 Okt. – Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sungai Buaya hari ini menganjurkan majlis penyerahan kutipan Tabung Rakyat Palestin 2018.
Pada majlis itu, Alimah Abu Noh, Pengetua sekolah tersebut menyerahkan sumbangan sebanyak RM5,445 kepada Profesor Madya Dr Faizul Azli Mohd Rahim, Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan bagi pihak Aman Palestin.
Kutipan yang berlangsung selama sebulan ini turut mendapat sokongan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan yang diwakili oleh Yang Dipertuanya.
Alimah berkata “Seramai 1,200 warga pendidik, pentadbir, PIBG dan pelajar memberi sambutan yang menggalakkan terhadap inisiatif tanggungjawab sosial terhadap umat Islam yang tertindas di luar negara, lebih-lebih lagi di negara yang begitu penting dari aspek kesucian agama, sejarah dan peradaban Islam.
“Kami terpanggil untuk memberi sumbangan ini kerana memikirkan nasib anak-anak Palestin yang tidak berpeluang untuk mendapatkan kehidupan dan pendidikan formal seperti di negara ini,” tambah beliau lagi.
Majlis turut diberkati dengan bacaan Yaasin oleh warga sekolah yang mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Palestin. – UTUSAN ONLINE











