KEPALA BATAS – Seorang warga emas kerugian RM75,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang mendakwa suri rumah itu terlibat dalam jenayah pengubahan wang haram sehingga perlu memindahkan wang bagi membayar jaminan mahkamah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dalam kejadian pada Selasa, wanita berusia 66 tahun dan tinggal di Sungai Petani, Kedah itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa anggota polis dari Kontinjen Terengganu memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan sebanyak RM30,000 dengan sebuah bank.
“Wanita itu menafikannya sebelum panggilan telefon mangsa disambungkan kepada seorang pegawai polis dari Bukit Aman dan memberitahu nombor telefon bimbitnya terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram sebelum dia diminta memindahkan kesemua duit yang ada dalam akaunnya ke dalam satu akaun yang diberikan (suspek) bagi tujuan jaminan mahkamah.
“Berikutan terkejut dan terlalu takut, mangsa tanpa berfikir panjang terus ke sebuah bank di Kepala Batas, di sini dan membuat pindahan dari wang simpanan amanah sahamnya ke akaun banknya sebelum membuat transaksi ke dalam akaun yang di arahkan sindiket terbabit,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, wanita itu melakukan dua transaksi dalam tempoh dua hari melibatkan wang sebanyak RM75,000 namun semalam dia sekali lagi dihubungi sindiket itu yang meminta untuk memasukkan RM50,000 ke dalam akaun yang sama.
Noorzainy berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas tidak dapat menghubungi pegawai polis dari Bukit Aman itu.
“Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket. Jangan sesekali panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil, sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk pengesahan,” katanya. – Bernama









