KEPALA BATAS 20 Okt. – Akibat terpedaya dengan panggilan telefon diterimanya, seorang wanita warga emas kerugian RM150,000 akibat ditipu sindiket Macau Scam, di sini hari ini.
Ibu tunggal berusia 66 tahun itu menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai kerani mahkamah serta pegawai kanan polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa sebelum itu menerima panggilan daripada seseorang yang mendakwa sebagai kerani dari Mahkamah Kuala Terengganu dan memaklumkan mangsa pernah terlibat dengan penggelapan wang haram dan penyeludupan dadah.
“Mangsa menafikan dakwaan itu sebelum panggilan itu disambungkan kepada seorang wanita kononnya pegawai polis dari ibu pejabat Polis Kontinjen Terengganu dikenali sebagai Inspektor Farah.
“Mangsa kemudiannya diminta membayar wang jaminan kerana akaun banknya didakwa terlibat dengan kes jenayah seperti penggubahan wang haram dan wang jaminan itu kononnya bagi membantu ‘membersihkan’ akaun bank tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa telah mengeluarkan wang simpanan daripada akaun simpanan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) sebelum membuka akaun bank baru dah telah menyerahkan nombor kod TAC perbankan kepada suspek.
Jelas Noorzainy, semakan mendapati berlaku 10 transaksi pemindahan wang melibatkan jumlah keseluruhan RM150, 000 daripada akaun bank mangsa.
“Mangsa hanya menyedari dirinya tertipu selepas mendapati baki wang di dalam akaun banknya hanya tinggal sebanyak RM77 sebelum membuat laporan polos di Balai Kepala Batas
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Jenayah Komputer,” ujarnya.
Noorzainy juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat atau tipu helah pihak-pihak tertentu selain tidak panik dan jangan hubungi semula nombor telefon yang diterima.
“Sebaiknya dapatkan nombor telefon rasmi syarikat, organisasi atau institusi terbabit untuk pengesahan lanjut serta yang paling penting adalah tidak mendedahkan nombor akaun bank, nombor kad ATM, kad kredit dan nombor TAC internet perbankan anda kepada orang yang tidak dikenali,” katanya. – UTUSAN ONLINE










