HULU SELANGOR – Seorang wanita warga Singapura maut manakala pasangannya patah kaki selepas terlibat dalam satu kemalangan di kilometer 410 Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) arah utara di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, pembonceng motosikal, Pauline Leong, 42, disahkan maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada kepala sementara suaminya, Admen Lim Beng Yan, 43, patah kaki.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, pasangan terbabit dipercayai dalam perjalanan menuju ke Thailand dari Singapura sebelum terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Siasatan awal mendapati, mereka dalam perjalan ke Thailand dari Singapura sebelum terbabas sendiri di lorong paling kanan dan melanggar penghadang jalan.
“Kemalangan terbabit menyebabkan pembonceng motosikal maut selepas mengalami kecederaan parah. Pasangan terbabit telah dihantar ke Hospital Slim River untuk tindakan susulan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – K! ONLINE











