TOKYO 24 Okt. – Sekumpulan wanita menuntut pampasan daripada universiti perubatan Jepun yang mengaku sengaja mengubah markah kemasukan pemohon perempuan agar mereka tidak dapat belajar di situ.
Lebih 20 bekas pemohon menuntut Universiti Perubatan Tokyo supaya memohon maaf berhubung skandal berkenaan.
Pengakuan universiti terbabit membawa kepada penemuan isu yang sama di sekolah perubatan lain selepas kerajaan Jepun menjalankan siasatan terperinci.
Peguam bagi kumpulan wanita tersebut, yang ditolak oleh sekolah berkenaan selepas mengambil peperiksaan kemasukan sejak 2006, dijangka akan mengemukakan tuntutan kepada universiti itu pada minggu hadapan.
Kumpulan wanita tersebut bagaimanapun mengaku masih belum dapat membuktikan sama ada permohonan mereka ditolak kerana diskriminasi atau markah ujian yang tidak mencukupi, tetapi tetap menggesa universiti itu mendedahkan keputusan peperiksaan mereka. – AFP
Selain itu, mereka juga menuntut pampasan sebanyak 100,000 yen (RM3,704) untuk setiap seorang bagi ‘kesedihan mental’ dan mahu universiti itu memulangkan semua wang yang dibayar untuk mengambil peperiksaan, perjalanan ke institusi terbabit serta menginap di kawasan berdekatan ketika proses permohonan. – AFP











