Wanita nafi abai 6 ekor kucing - Utusan Malaysia

Wanita nafi abai 6 ekor kucing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan telah menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap enam ekor kucing peliharaannya yang ditinggalkan di sebuah rumah, enam bulan lalu.

Nur Atikah Dzolkipli, 27, selaku orang kena saman (OKS) didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Sri Sinar, Segambut di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 17 April lalu.

Wanita yang sudah berkahwin itu didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Difahamkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapat aduan daripada jiran OKS, haiwan tersebut ditinggalkan di dalam sangkar dan dibiarkan bergelumang dengan tahi malah tiga daripada enam ekor kucing itu didapati telah mati.

Pegawai Pendakwa, Hasiah Musa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin manakala Nur Atikah yang bekerja sebagai koordinator di sebuah syarikat logistik tidak diwakili peguam merayu agar jaminan dikurangkan.

“Saya mempunyai masalah kewangan dan mengalami masalah rumah tangga sekarang ini,” katanya.

Hakim Manira Mohd. Nor membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 November ini untuk sebutan kes bagi lantikan peguam.

Selesai prosiding, OKS memberitahu pemberita bahawa dia tidak lagi tinggal di rumah itu dan ada datang memberi makanan kepada kucing-kucing tersebut.

Difahamkan, kucing-kucing itu pada asalnya merupakan kucing terbiar dan sakit namun Nur Atikah telah mengambilnya untuk dipelihara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini